Rumah ibu bapa lebih selesa, imbau nostalgia zaman kanak-kanak

Walaupun terdapat pelbagai pilihan hotel dan inap desa, majoriti perantau tetap memilih untuk menginap di rumah ibu bapa mereka. Gambar hiasan 123rf.
Walaupun terdapat pelbagai pilihan hotel dan inap desa, majoriti perantau tetap memilih untuk menginap di rumah ibu bapa mereka. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

GEORGE TOWN - Setiap kali musim perayaan, jutaan perantau di Malaysia akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Fenomena ini bukan sahaja mencetuskan kesesakan lalu lintas malah meningkatkan permintaan terhadap penginapan.

Namun, walaupun terdapat pelbagai pilihan hotel dan inap desa, majoriti perantau tetap memilih untuk menginap di rumah ibu bapa mereka.

Kakitangan kerajaan, Watawa Nataf Zulkifli, 30an berkata, dia dan keluarganya lebih selesa menginap di rumah kedua orang tuanya berbanding hotel atau inap desa.

Menurutnya, ini kerana, ia sudah menjadi amalan adik beradiknya untuk berkumpul di rumah ibu bapa untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Saya dan adik beradik yang lain sudah terbiasa daripada kecil beraya di rumah ibu bapa. Jadi tiada alasan untuk keluarga saya mahu pun adik beradik memilih hotel atau 'homestay'.

"Walaupun ramai adik beradik berkumpul, itulah suasana yang kami sekeluarga inginkan. Dengan berkumpul inilah, ia akan mengeratkan silaturahim selain mengembalikan nostalgia membesar dan beraya ketika kanak-kanak dahulu," katanya.

Watawa menambah, golongan yang memilih untuk tinggal di hotel atau inap desa mungkin mempunyai alasan sendiri apabila membuat pilihan tersebut.

"Saya tidak rasa hubungan keluarga akan terjejas sekiranya ada yang memilih tidak tidur di rumah ibu bapa. Mungkin mereka hanya pulang ke hotel untuk tidur sahaja. Pada masa lain, mereka akan berkumpul di rumah ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada kekangan yang tidak dapat dielakkan, seperti rumah ibu bapa yang terlalu sempit. Jadi pilihan adalah berdasarkan keadaan, tak kurang juga ada yang menjaga batas aurat terhadap ipar duai dan saudara bukan mahram.

"Bagaimanapun bagi saya, jika keadaan tidak mendesak, pulang lah ke rumah ibu bapa. Mereka pasti lebih gembira dengan kepulangan anak-anak," ujarnya lagi.

Sementara itu, pegawai khidmat pelanggan, Sarah Noordin, 35 berkata, menginap di rumah ibu bapa bersama adik beradik menjelang Syawal adalah detik paling bermakna kerana ia merupakan waktu paling sesuai untuk berkumpul.

Kata Sarah, rumah ibu bapa adalah tempat paling terbaik untuk berkumpul untuk menyambut hari raya.

"Mengapa perlu membazir wang untuk tinggal di hotel atau inap desa sedangkan kita boleh meluangkan masa bersama ibu bapa tersayang. Rumah ibu bapa adalah tempat yang terbaik bagi saya.

"Setiap sudut adalah sangat selesa bagi kami sekeluarga. Tiada istilah sesak, lebih ramai lebih meriah. Biarlah berhimpit pun, asalkan boleh bersama-sama keluarga. Mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang itu amat penting," katanya.

Dia menambah, adalah menjadi tanggungjawab anak untuk meluangkan masa bersama ibu bapa ketika mereka masih bernyawa.

"Pendapat peribadi saya, jika kita memilih untuk tinggal di hotel atau inap desa, sedikit sebanyak akan menggores perasaan kedua-dua orang tua kita.

"Jika boleh, pilihlah untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selagi ibu bapa kita masih ada," katanya.

Pekerja swasta, Nurfarhanis Ferozekhan Noon, 33 berkata, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan alasan mengapa mereka memilih untuk menginap di hotel atau inap desa.

Bagi Nurfarhanis, hari raya adalah waktu paling seronok untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga setelah sibuk dengan hal masing-masing.

"Hari raya adalah waktu terbaik untuk berkumpul seperti waktu kita kecil dahulu. Berkumpul, berbual, bergurau serta menyediakan juadah hari raya bersama adalah momen yang sangat berharga.

"Paling seronok, tidur beramai-ramai di ruang tamu. Ia menggamit memori ketika kita kecil dahulu. Tiada isu bersesak sebaliknya ia amat menyeronokkan.

"Ibu bapa pun mesti seronok melihat anak cucu mereka berkumpul untuk menyambut hari raya terutamanya pada malam raya. Momen ini bukan selalu, hanya setahun sekali," tambahnya.

Kesimpulannya, lebih raya yang memilih rumah ibu bapa berbanding hotel ketika balik beraya kerana bukan sekadar soal ekonomi malah melibatkan faktor emosi, budaya dan hubungan kekeluargaan.

Walaupun industri hospitaliti cuba menarik pelanggan dengan pelbagai promosi dan pakej istimewa, kehangatan rumah keluarga tetap sukar ditandingi.

Bagi perantau, rumah ibu bapa bukan sekadar tempat berteduh tetapi simbol kasih sayang, kenangan dan ikatan kekeluargaan yang terus utuh sepanjang zaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!