X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tak salah hasilkan sendiri cecair pembasmi kuman

Langkah menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman menggunakan campuran antiseptik racun kuman dan air suling bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) tidak menjadi kesalahan.
A
A

BAGAN SERAI - Langkah menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman menggunakan campuran antiseptik racun kuman dan air suling bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) tidak menjadi kesalahan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi berkata, hasil yang diperoleh mungkin tidak seperti yang terdapat di pasaran termasuk dari segi tahap kelikatan.

“Tidak salah sebenarnya, tapi jadi cairlah tidak pekat seperti yang sedia ada disebabkan nisbah sukatannya sudah berubah," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Beliau mengulas perkongsian di media sosial untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman buatan sendiri menggunakan campuran cecair antiseptik dan air suling berikutan cecair pembasmi kuman kini semakin sukar diperoleh di pasaran.

Dr Noor Azmi berkata, orang ramai perlu mempunyai kebergantungan bersama untuk mencegah penularan Covid-19 termasuk tidak berada di tempat tumpuan ramai sekiranya tidak sihat atau bergejala.

Selain itu, beliau menyarankan orang ramai supaya meningkatkan ketahanan diri dengan mengamalkan pengambilan makanan tambahan atau suplemen seperti vitamin C.

"Cuba elakkan perkara yang boleh rendahkan ketahanan diri seperti merokok, tidak cukup tidur dan tekanan," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus