[VIDEO] Kerajaan tegas pertahan doktor tempatan elak berhijrah ke Singapura
KULAI - Kerajaan akan terus mempertahankan pegawai perubatan tempatan daripada berhijrah ke luar negara dengan menambah baik sistem perjawatan dan kebajikan petugas kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kementeriannya akan memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik dapat dinikmati doktor tempatan.

Jelas beliau, langkah itu penting memandangkan negara kini menjadi sasaran hospital dan syarikat perubatan dari Singapura yang memberikan tawaran gaji lumayan.
"Saya melihat isu mengenai kedatangan syarikat ataupun hospital-hospital Singapura ke Malaysia untuk menarik doktor-doktor tempatan merupakan cabaran dalam pasaran terbuka.
"Kerajaan tetap mempertahankan mereka kerana untuk menghasilkan pegawai perubatan ataupun graduan perubatan ini bukan percuma. Kita berikan subsidi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia, di sebuah pusat membeli-belah pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut@Ahmad.
Pada 9 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dilaporkan menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @dr_amandaelli, sesi pengambilan tersebut disertakan dengan tawaran pakej yang sangat menarik termasuk gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000), tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
Lukanisman menegaskan, kerajaan kini memberi perhatian serius terhadap isu 'on-call', kelelahan dan buli di hospital serta kebajikan petugas kesihatan.
"Walaupun kerajaan belum mampu menawarkan gaji setimpal seperti negara luar, kita sedang menambah baik sistem supaya sekurang-kurangnya dapat memberi keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) lebih baik.
“Isu-isu seperti ‘on-call’, kelelahan pegawai perubatan serta masalah buli di hospital sedang dibincangkan kerana ia bukan perkara yang boleh kita selesaikan hanya melalui kempen. Ia perlu ditangani secara serius dan menyeluruh.
"Kerajaan Madani akan terus menangani isu ini dengan sokongan padu seluruh Kabinet yang akan sentiasa mengemukakan cadangan serta penyelesaian dari semasa ke semasa," ujarnya.
Jawatan tetap doktor: KKM bincang dengan JPA
KULAI - Kementerian Kesihatan (KKM) kini giat berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengisi perjawatan tetap baharu melibatkan Pegawai Perubatan, sebagai langkah mengurangkan beban tugas selain menangani isu kekurangan doktor di fasiliti kesihatan awam seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada masa sama, kementerian sedang meneliti pengagihan Pegawai Perubatan yang tidak seimbang mengikut keperluan semasa.
“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kini sedang giat melakukan babit urus bersama JPA untuk pengisian perjawatan baharu ini, bagi mengurangkan beban Pegawai Perubatan.
“Punca kuasa bagi mewujudkan jawatan tetap ini bukan terletak kepada KKM. Namun, kementerian memohon dan mengemukakan cadangan kepada JPA bagi tujuan tersebut.
“KKM akur bahawa perjawatan tetap penting untuk memberikan keyakinan kepada doktor awam agar terus berkhidmat, selain merancang perkembangan kerjaya mereka bersama kementerian,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberkulosis Sedunia di sini pada Khamis.
Turut hadir, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad.
Mengulas gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mahu lantikan kontrak Pegawai Perubatan dimansuhkan, Lukanisman berkata, KKM memahami keperluan itu memandangkan ramai doktor memilih berhenti dan berhijrah ke sektor swasta atau luar negara.
Beliau memaklumkan, fasa pertama e-Placement telah pun selesai dengan menyediakan 6,414 perjawatan tetap, melibatkan kira-kira 2,231 penempatan pertama bagi Pegawai Perubatan di seluruh negara.
“Bagaimanapun, 60 peratus permohonan Pegawai Perubatan ditempatkan mengikut permintaan mereka sendiri di fasiliti kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta Pegawai Perubatan agar bersedia menerima tawaran perjawatan tetap di Sabah, Sarawak dan Labuan yang masih mempunyai banyak kekosongan.
"KKM memohon supaya Pegawai Perubatan ini dapat menerima perpindahan mereka ke Sabah dan Sarawak kerana jawatan itu adalah jawatan tetap.
"Kita juga akan menilai rayuan daripada Pegawai Perubatan kerana adalah sangat tidak adil bagi rakyat Sabah dan Sarawak tidak mendapat perkhidmatan doktor.
"Saya datang dari Sarawak dan melihat kekosongan klinik tanpa doktor di sana dan juga kita akan sedaya upaya untuk melihat keperluan semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

