Toleransi kunci akrab dua sahabat

SUNGAI PETANI - Walaupun berlainan bangsa dan agama, hubungan dua sahabat yang terjalin sejak 20 tahun lalu kekal akrab sehingga kini.
Lee Chai Chuen, 49, berkata, dia dan sahabatnya, Dr Nor Azrina Mohd Yusof @Ghani, 44, sentiasa bersama.
Mereka berdua yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat pengajian tinggi di sini kerap berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja.
“Ke mana sahaja kami berdua. Kami masing-masing saling memahami dan bertoleransi biarpun berbeza bangsa dan agama,” katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan detik awal perkenalan mereka pada 2002, Chai Chuen berkata, dia merupakan pensyarah bahasa Mandarin di sebuah pusat pendidikan tinggi di Pahang manakala Nor Azrina pula adalah pelajarnya.

“Nor Azrina lain sikit sebab minat mendalam sehingga semua tugasan saya beri dia boleh buat dengan cemerlang... itu yang nampak potensi pada dirinya luar biasa.
“Hubungan kami lebih rapat setelah Nor Azrina habis pengajian dan kebetulan perbezaan umur tidak ketara membuatkan kami saling memahami.
“Disebabkan tiada ramai kenalan, tambahan pula kerjaya saya dikelilingi kelompok Melayu, apa-apa yang saya nak tahu, saya akan tanya dia,” ujarnya yang sudah biasa mengenakan baju kurung dan kebaya untuk bekerja.
Sementara itu Nor Azrina berkata, dia sanggup mengambil keputusan berpindah ke Kedah memandangkan rakan baiknya ditukarkan ke negeri itu pada 2008.
Jelasnya, perkenalan dengan Chai Chuen mengajar erti persahabatan, setia kawan dan kejujuran.
“Saya suka belajar Mandarin, sehingga sekarang saya masih belajar, dia pula kini dah fasih cakap Melayu. Begitu juga dengan keluarga masing-masing, dah pandai guna bahasa Melayu dan Mandarin sebab kerap jumpa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

