[VIDEO] 'Ayah saya juga meninggal di Sungai Korok 37 tahun lalu'
JITRA – “Setiap kali melintasi terusan Sungai Korok ini, hati saya sayu. Inilah tempat ayah saya meninggal dunia 37 tahun lalu, dan kini enam sekeluarga pula terkorban di lokasi sama.”
Itu luahan Nazriah Abd Razak, 46, seorang guru yang tidak menyangka tragedi lemas enam sekeluarga di Sungai Korok baru-baru ini menghidupkan semula memori duka kehilangan ayahnya pada 15 Jun 1988.
Menurut Nazriah, bapanya, Abd Razak Osman ketika itu berusia 38 tahun, maut selepas kereta yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas ke dalam terusan berkenaan ketika dalam perjalanan dari Jerlun ke Jitra pada awal pagi.
“Mayat mereka ditemui kira-kira dua jam selepas kejadian, masih berada di dalam kereta. Arwah dipercayai meninggal dunia akibat lemas. Ketika itu saya baru berusia sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Katanya, ibunya, Khatijah Abdullah, kini berusia 72 tahun, hampir pengsan apabila dimaklumkan mengenai kematian suaminya oleh pihak polis yang hadir ke rumah mereka di Perlis.
“Mak tidak bekerja. Ayah tinggalkan kami tujuh beradik yang masih kecil. Sejak hari itu, mak banyak mendiamkan diri. Datuk bawa mak berubat ke merata tempat sebab dia hilang semangat,” ujarnya.
Tambah Nazriah, kejadian terbaharu itu benar-benar merobek semula perasaan lama, apatah lagi salah seorang mangsa merupakan bayi lelaki berusia enam bulan.
“Bila tengok berita, saya terus teringat arwah ayah. Mak pula tak boleh tengok berita orang mati lemas di sungai sebab akan teringat tragedi tersebut,” katanya.

Kini, hanya gambar lama arwah ayah dan keratan berita tragedi 1988 menjadi pengubat rindu buat Nazriah dan adik-beradiknya.
“Adik bongsu paling rapat dengan ayah. Dua hari lagi dia nak sambut hari lahir ketika kejadian berlaku. Kami semua memang rapat dengan ayah. Sepatutnya saya ikut dia ke Alor Setar hari tu, tapi tak jadi sebab demam,” ujarnya.
Jenazah Abd Razak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya, Pokok Sena.
Nazriah berkata, setiap kali melalui laluan sepanjang terusan Sungai Korok yang menghubungkan Jitra ke Jerlun, dia akan memperlahankan kenderaannya sebagai menghormati lokasi tragedi.
“Laluan ini gelap, tiada lampu jalan. Banyak kemalangan berlaku di sini. Kalau pihak berkuasa dapat pasang lampu jalan, ia boleh kurangkan risiko, apatah lagi ramai guna jalan ini waktu malam,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin, enam sekeluarga ditemukan lemas dalam sebuah kereta selepas mereka dilaporkan gagal dikesan sejak pagi Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

