Tindakan Trump puji kefasihan Presiden Liberia berbahasa Inggeris cetus kemarahan

WASHINGTON – Kenyataan mengejutkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Presiden Liberia, Joseph Boakai mencetuskan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan rakyat negara Afrika Barat itu apabila beliau memuji kefasihan Boakai bertutur dalam bahasa Inggeris, meskipun bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi Liberia sejak abad ke-19.
“Bahasa Inggeris yang sangat baik, sangat indah,” kata Trump dengan nada terkejut ketika bertemu Boakai di Rumah Putih pada Rabu.
Trump kemudian bertanya, “Di mana anda belajar bertutur dengan begitu fasih? Di mana anda mendapat pendidikan? Di Liberia?”
Pertemuan itu berlangsung semasa sidang kemuncak dengan lima pemimpin Afrika Barat, selaras dengan pendekatan baharu dasar luar AS yang kini memberi tumpuan kepada perdagangan berbanding bantuan.
Kenyataan Trump itu menimbulkan pelbagai reaksi di Liberia, yang mempunyai hubungan sejarah rapat dengan Washington sejak zaman penempatan bekas hamba abdi dari AS ke negara tersebut.
Pengerusi parti pembangkang Congress for Democratic Change–Council of Patriots, Foday Massaquio menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak beradab dan tidak menghormati.
“Trump bersikap menghina, dan ini menunjukkan bahawa Barat masih tidak mengambil serius kedudukan kita sebagai bangsa Afrika,” katanya.
Jurucakap Pejabat Presiden Liberia, Kula Fofana pula menggesa media menumpukan perhatian kepada hasil perbincangan, sambil berkata:
“Kami mengalu-alukan pujian Trump terhadap cara Presiden kami berucap dengan jelas, namun yang lebih penting ialah mengukuhkan hubungan dua hala antara Liberia dan Amerika Syarikat.”
Menteri Luar Liberia, Sara Beysolow Nyanti pula mempertahankan kenyataan Trump dan berkata menerusi X bahawa “komen Presiden Trump hanyalah pengiktirafan terhadap sebutan loghat Amerika yang sudah lama wujud dalam bahasa kami.”
Namun bagi sebahagian besar rakyat Liberia, komen itu menambahkan rasa kecewa selepas pentadbiran Trump sebelum ini memansuhkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan menghentikan dasar bantuan berasaskan kebajikan.
Liberia merupakan penerima utama bantuan USAID sejak 1961, dengan sokongan AS merangkumi hampir 2.6 peratus daripada pendapatan negara kasar Liberia – peratusan tertinggi di dunia.
“Liberia sudah lama menjadi sahabat setia Amerika Syarikat. Sepatutnya Trump tahu kami bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.
“Presiden kami ke Washington bukan untuk pertandingan bertutur bahasa Inggeris,” kata Moses Dennis, seorang ahli perniagaan dari Monrovia.
Pandangan itu disokong oleh Siokin Civicus Barsi-Giah, orang kanan kepada bekas Presiden Liberia, George Weah.
“Liberia ialah sebuah negara yang ditubuhkan oleh bekas hamba abdi dan tuan hamba dari Amerika. Sudah tentu bahasa Inggeris adalah bahasa kami,” katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan Trump sebagai satu penghinaan terhadap Boakai.
“Joseph Boakai bukan dipuji, sebaliknya diperlekeh oleh Presiden kuasa besar dunia di pentas antarabangsa,” katanya.
Namun begitu, sesetengah pihak berpendapat kenyataan Trump perlu dilihat dalam konteks gaya retorik beliau yang unik.
Pengarah Penyelidikan Universiti African Methodist Episcopal, Abraham Julian Wennah berkata: “Bagi sesetengah pihak, kenyataan itu membawa nada sindiran, mencerminkan kecenderungan Barat yang lama untuk terkejut apabila pemimpin Afrika menunjukkan kecerdasan dan kefasihan.”
“Tetapi jika kita memahami gaya komunikasi Trump, ia mungkin hanya pengiktirafan terhadap kepetahan, intelek dan kesediaan Boakai untuk berperanan dalam diplomasi global,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

