Isu parkir haram di Bukit Bintang cetus kemarahan orang awam

KUALA LUMPUR – Isu parkir haram di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini terus mencetuskan kemarahan orang ramai apabila individu tidak dikenali didakwa meminta wang secara paksa daripada pemandu kenderaan yang mahu meletakkan kereta di kawasan awam.
Dalam satu rakaman video tular di media sosial, sekumpulan lelaki dipercayai penjaga parkir haram dirakam menuntut bayaran daripada pemandu, dipercayai tanpa sebarang kuasa sah.
Rakaman tersebut turut disertakan dengan aduan pengguna jalan raya yang mendakwa tindakan itu telah lama berlaku dan semakin menjadi-jadi tanpa sebarang tindakan tegas.
“Tak habis-habis dari dulu penjaga parkir haram ni pau duit orang. Kalau tak bayar, risau kereta dirosakkan,” kata individu terbabit dalam kapsyen video yang tular di aplikasi Facebook.
Orang awam juga dilihat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ancaman secara halus yang dibuat oleh penjaga parkir haram tersebut.
Rakaman berkenaan kini menjadi bukti penting untuk rujukan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terhadap kenderaan mereka.
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditandai dalam hantaran tersebut sebagai gesaan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, DBKL yang dihubungi Sinar Harian masih belum memberikan sebarang maklum balas rasmi berhubung isu tersebut.
Tindakan tegas diharap dapat diambil segera oleh pihak berkuasa bagi menangani kegiatan ini yang bukan sahaja membebankan rakyat, malah mewujudkan suasana tidak selamat di kawasan pelancongan utama ibu kota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

