IjDAZ 2025 perkukuh jaringan, tadbir urus zakat

BANGI – Institusi zakat di Malaysia berhasrat memperkasa sistem pengurusan zakat negara sehingga mampu mencapai pengiktirafan global, selari dengan peranan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Khaidzir Shahari, berkata aspirasi tersebut merupakan antara perkara utama yang diketengahkan dalam Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat (IjDAZ) 2025, sebuah program selama dua hari yang menghimpunkan semua institusi zakat dari seluruh negara.
Menurutnya, meskipun sistem kutipan dan agihan zakat berbeza mengikut negeri berdasarkan struktur Raja Berperlembagaan, objektif utamanya tetap sama iaitu menyantuni golongan asnaf.
“Setiap negeri mempunyai keutamaan tersendiri bergantung kepada keadaan ekonomi dan demografi.
“Misalnya, pendekatan di Pantai Timur berbeza dengan Pantai Barat, namun semua usaha tetap menuju matlamat yang sama iaitu membela asnaf,” katanya ketika ditemui selepas IjDAZ 2025 di sini pada Rabu.
Tambahnya, kerjasama rentas negeri dan negara mampu menyumbang kepada peningkatan mutu tadbir urus zakat termasuk dari aspek sistem kutipan, agihan serta pendekatan korporat yang lebih berkesan.
“Kita mahu Malaysia menjadi rujukan utama dalam sistem zakat, sebagaimana negara ini menjadi peneraju dalam kewangan Islam.
“Beberapa negara seperti Indonesia dan Singapura telah datang melawat institusi zakat kita untuk meninjau pelaksanaan agihan serta sistem pengurusan yang dilaksanakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir memaklumkan bahawa satu Muzakarah Nusantara akan diadakan pada tahun hadapan, yang bakal menghimpunkan pelbagai negara serantau bagi memperkukuh jaringan dan mempromosikan model zakat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Justeru, tegasnya, ijtimak seperti ini penting sebagai platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik, di samping membina rangkaian kerjasama antara para daie dan asatizah zakat dari pelbagai negeri.
“Ijtimak yang julung kali diadakan ini turut mendapat penyertaan daripada institusi zakat Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan serta kehadiran wakil dari negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Brunei,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

