Pasaran hartanah dijangka meningkat 12 peratus
Penurunan OPR beri peluang lebih ramai beli rumah, hartanah

SHAH ALAM - Aktiviti permintaan pasaran hartanah dijangka meningkat sekitar lapan hingga 12 peratus susulan pengumuman penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Rabu.
Perunding hartanah dari syarikat IQI Realty, Firdzaus Syah berkata, peningkatan tersebut dianggarkan berlaku dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang bergantung kepada lokasi dan jenis hartanah.
“Keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam kalangan pembeli rumah pertama yang sebelum ini menunggu kadar pinjaman lebih rendah dan golongan pelabur yang mencari peluang strategik dalam pasaran yang sedang stabil.
“Dengan kos pinjaman yang lebih rendah, kemampuan pembeli akan meningkat. Ini membuka ruang kepada lebih ramai individu khususnya golongan muda dan isi rumah pertama untuk memasuki pasaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Firdzaus, penurunan OPR turut memberi kesan terus kepada kadar faedah pinjaman perumahan terutama untuk pinjaman kadar terapung.
Menurutnya, ia menjadikan ansuran bulanan lebih rendah, keupayaan pinjaman lebih tinggi dan kelayakan pembiayaan lebih mudah dicapai.
“Lebih menarik, pihak bank dan pemaju dijangka bersaing menawarkan pelbagai insentif khas untuk pembeli rumah pertama seperti margin pembiayaan hingga 100 peratus bergantung kelayakan.
“Selain itu, insentif lain seperti caj yuran guaman minimum atau sifar, rebat tunai, diskaun istimewa dan program mudah milik seperti skim sewa untuk beli (RTO) serta kos kemasukan sifar,” ujarnya.
Sementara itu, perunding hartanah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Quality Homes Realty (M) Sdn Bhd, Erman Taib berkata, kadar OPR memainkan peranan besar dalam menentukan sentimen pasaran terutama melalui emosi dan persepsi pembeli terhadap kos pinjaman.
“Pembelian rumah sangat bergantung kepada emosi. Bila kadar OPR turun, automatik pembeli akan rasa lebih mampu dan yakin.
“Contohnya sebelum ini bayaran bulanan RM1,900, selepas OPR turun mungkin boleh jadi RM1,600.
“Itu beza besar dan boleh jadi pencetus untuk seseorang itu terus membuat keputusan membeli hartanah,” menurutnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa kadar faedah rendah itu mungkin bersifat sementara dan akan dinaikkan semula apabila ekonomi pulih.
“Justeru, pembeli harus bertindak apabila ada kesempatan seperti ini.
“Jika OPR naik semula, pembeli akan terlepas peluang dapat pinjaman pada kadar rendah,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

