Tun M dan legasi satu abad penuh warna-warni

Tun Dr Mahathir kekal sebagai sosok yang cukup signifikan dalam lipatan sejarah tanah air, bukan sahaja sebagai pemimpin politik, tetapi sebagai arkitek pembangunan moden Malaysia.
Tun Dr Mahathir kekal sebagai sosok yang cukup signifikan dalam lipatan sejarah tanah air, bukan sahaja sebagai pemimpin politik, tetapi sebagai arkitek pembangunan moden Malaysia.
A
A
A

PADA 10 Julai 2025, negara menyambut satu detik bersejarah apabila Perdana Menteri Malaysia keempat serta ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyambut ulang tahun kelahiran ke-100.

Dalam usia satu abad, Tun Dr Mahathir kekal sebagai sosok yang cukup signifikan dalam lipatan sejarah tanah air, bukan sahaja sebagai pemimpin politik, tetapi sebagai arkitek pembangunan moden Malaysia.

Nama negarawan ulung ini sinonim dengan transformasi Malaysia daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian.

Dasar Pandang ke Timur, Wawasan 2020, serta pembinaan infrastruktur mega seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Putrajaya, semuanya lahir daripada visi jauh beliau terhadap masa depan negara.

Beliau pernah bersara, sebelum kembali semula ke tampuk kuasa dan sekali lagi memimpin negara pada usia melebihi 90 tahun, satu rekod dunia yang belum ditandingi.

Tun Dr Mahathir, yang mesra dikenali sebagai Tun M, bukan sahaja dikenang atas pencapaian fizikal semata-mata.

Falsafah dan prinsip hidup beliau turut meninggalkan kesan yang mendalam.

Bagi generasi Z dan Alfa yang membesar dalam dunia digital yang serba pantas, terdapat banyak nilai yang boleh dipelajari daripada prinsip hidup Tun M, antaranya ialah disiplin diri dan etika kerja keras.

Nilai tersebut turut ditegaskan sendiri oleh Tun M menerusi siaran langsung audio siar (podcast) sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100 di laman sosial rasminya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkongsian itu, Tun M mendedahkan bahawa disiplin dan kerja keras yang diamalkannya sejak bergelar doktor adalah tunjang kepada gaya kepimpinannya semasa menerajui kerajaan.

Beliau turut berkongsi bahawa sikap mahu menyegerakan sesuatu perkara timbul kerana beliau menyedari tempoh pentadbiran tidak panjang, dan setiap idea wajar dilaksanakan secepat mungkin demi manfaat rakyat.

Selain itu, Tun M turut dikenali sebagai seorang pemimpin yang menepati masa, sentiasa membaca dan menulis, serta tidak pernah berhenti bekerja walaupun selepas bersara.

Tun M juga memperlihatkan bahawa ilmu merupakan senjata utama untuk memimpin.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menulis lebih daripada 10 buah buku, menyampaikan syarahan di pelbagai universiti dan aktif menyumbangkan pandangan tentang isu-isu ekonomi, politik serta sosial.

Generasi muda yang dibesarkan dalam era TikTok dan Instagram perlu diingatkan bahawa pemikiran kritikal tidak lahir sekadar daripada menonton video pendek, tetapi melalui pembacaan mendalam dan perdebatan idea.

Justeru, nilai-nilai dan prinsip yang dipegang Tun M masih relevan untuk dijadikan panduan oleh generasi akan datang, terutamanya ketika dunia berdepan cabaran besar seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan geopolitik global.

Seabad bukan satu tempoh biasa. Ia adalah simbol ketahanan, kecekalan dan keabadian prinsip.

Tun M mungkin bukan insan sempurna, tetapi beliau adalah lambang perjuangan, pemikiran dan wawasan yang wajar dikenang dan dicontohi.

Selamat Ulang Tahun ke-100, Tun M.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!