'Kami syukur boleh peluk, ketawa bersama Daddy di usia 100 tahun' - Marina

Marina (kanan) berkongsi gambar bersama bapanya, Tun Dr Mahathir.
Marina (kanan) berkongsi gambar bersama bapanya, Tun Dr Mahathir.
A
A
A

SHAH ALAM – Anak sulung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Paduka Marina Mahathir, meluahkan rasa syukur kerana bapanya masih sihat walaupun pernah melalui saat getir pada tahun 2007 apabila menjalani dua pembedahan jantung dalam tempoh dua minggu.

Marina berkata, ketika itu mereka sekeluarga tidak menyangka bahawa bapanya mampu kekal sihat hingga ke hari ini, memandangkan proses pemulihan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengambil masa yang sangat lama.

Ujarnya, negarawan tersebut berjaya pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan izin serta rahmat ALLAH SWT.

“Untuk itu, kami hanya mampu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ramai pakar bedah, pakar bius, jururawat, ahli fisioterapi, pakar pemakanan dan lain-lain yang menjaga beliau di Institut Jantung Negara (IJN).

Tun Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Tun Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

“Adalah sangat mudah untuk berasa leka apabila mempunyai seorang ayah yang sudah berusia 100 tahun tetapi masih sihat dan aktif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Marina berkata, antara tanda-tanda penuaan yang ketara hanyalah pada bahagian tangan dengan urat yang kelihatan jelas di bawah kulit yang menipis, sedikit pelupa dan kurang mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan.

“Namun begitu, kami tetap perlu bersedia menghadapi hakikat yang tidak dapat dielakkan, kerana kami tahu suatu hari nanti ia akan tiba. Kami berdoa agar ALLAH melapangkan segalanya,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau bersama adik-beradik, anak-anak, anak saudara serta cicit meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang untuk berinteraksi dengan bapanya yang digelar sebagai Daddy, Tok Det atau Nyang.

“Kami masih boleh berbual, ketawa, bermain dan berpelukan dengan beliau. Beliau juga masih ditemani insan kesayangannya, iaitu ibu kami, di sisinya.

“Selamat hari lahir Daddy! Semoga sentiasa sihat dan bertenaga seperti sekarang. Kami sangat-sangat menyayangi Daddy,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!