Hanya 8.4 peratus institusi pendidikan agama di Perak ada Kebenaran Merancang - MB

Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Seminar Kelestarian Integriti: Pembangunan Institusi Pendidikan Agama - Bicara Integriti dan Program Pegawai Integriti Bertauliah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Khamis.
Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Seminar Kelestarian Integriti: Pembangunan Institusi Pendidikan Agama - Bicara Integriti dan Program Pegawai Integriti Bertauliah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan bangunan institusi pendidikan agama di negeri ini apabila mendedahkan hanya 85 daripada 1,006 institusi yang berdaftar memiliki Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, angka itu yang hanya mewakili 8.4 peratus keseluruhan institusi berdaftar termasuk tadika Islam, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).

"Saya harap pihak bertanggungjawab, pemegang taruh, pentadbir institusi dan agensi teknikal dapat duduk semeja dan selaraskan penyelesaian secara tuntas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kelestarian Integriti: Pembangunan Institusi Pendidikan Agama - Bicara Integriti dan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Dalam sidang medianya, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak pernah berniat untuk menghadkan pertumbuhan institusi pendidikan agama, namun sebarang pembangunan yang tidak mengikut prosedur boleh mengundang risiko besar kepada pelajar dan penghuni institusi tersebut.

Jelas beliau, laporan diterima menunjukkan kebanyakan institusi dibina tanpa pelan rasmi atau Kebenaran Merancang kerana mahu mengurangkan kos selain tidak merujuk kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau agensi teknikal lain.

"Mereka mula pasang empat tiang dulu, kemudian tambah binaan apabila ada pelajar. Akhirnya keselamatan diabaikan.

"Pendawaian disambung sendiri tanpa khidmat orang bertauliah, ada yang sambung dari konduktor lampu... itu sangat bahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar pembangunan institusi pendidikan untuk jangka masa panjang menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan pengukuhan institusi sosial sebagai antara keutamaan di bawah teras sejahtera sosial.

"Kita buat sekolah dengan tujuan untuk mengajar, tetapi faktor keselamatan ini hendaklah menjadi keutamaan kepada semua orang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!