Kerajaan perlu tingkat tahap keselamatan siber

SHAH ALAM - Serangan siber terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) seharusnya membuka mata kerajaan dalam memenuhi keperluan mempertingkatkan tahap keselamatan siber di negara ini menerusi penyaluran dana tambahan.
Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, walaupun Malaysia menunjukkan keupayaan berdepan serangan siber di KLIA baru-baru ini, beliau berpandangan sistem keselamatan siber sedia ada perlu terus diperkukuh supaya kejadian sama tidak berulang.
“Ancaman siber kini boleh dilakukan oleh kumpulan jenayah siber yang menggunakan kepakaran tinggi dan sumber besar dengan tujuan tertentu.
“Jadi terdapat keperluan untuk dana tambahan bagi meningkatkan keselamatan siber,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhamad Khairulnizam berpandangan, dengan adanya peruntukan dana tambahan, negara boleh mempertingkatkan infrastruktur keselamatan siber termasuk menggunakan teknologi-teknologi canggih dalam ekosistem keselamatan negara terkini.
“Sebagai contoh, kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengesan serangan siber dengan lebih efisien dan tepat dalam masa nyata,” katanya.
Muhamad Khairulnizam turut berpendapat koordinasi kerjasama serantau antara negara jiran dalam ASEAN yang memiliki kepakaran dalam bidang ini amat penting bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.
“Dalam konteks individu, organisasi atau industri, maka audit keselamatan siber mestilah berterusan.
“Contohnya, dalam konteks MAHB, ia memerlukan audit keselamatan siber atau maklumat secara berkala supaya tidak dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

