Kurung lelaki Palestin, enam lelaki dipenjara lima tahun

KUALA LUMPUR - Enam lelaki dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis kerana melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet tiga tahun lalu.
Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim, K Muniandy.
Mohamad Norakmal, Mohamad Sufian dan Muhammad Al Hatim diperintah menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 29 September 2022, manakala Tengku Hazarul Ismail dan Mohd Azwan masing-masing pada 11 Oktober 2022 dan 14 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi di sini pada 10.40 malam, 28 September 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, lelaki Palestin itu telah dilarikan dan dikurung di Hulu Langat sebelum pihak polis membuat serbuan berpandukan maklumat yang diperoleh.
Polis kemudian menjumpai mangsa dalam keadaan tangan dan kakinya diikat.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad memohon supaya tertuduh itu dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun, kerana kesalahan mereka telah memberikan kesan buruk kepada negara.
“Sebelum ini, mereka didakwa atas satu pertuduhan menculik, jadi mereka seharusnya bersyukur kerana diberi pertuduhan pilihan, selepas representasi yang dihantar telah diterima Jabatan Peguam Negara.
“Selepas didakwa, mereka direman selama dua hingga tiga tahun sementara menunggu kes ini dibicarakan.
"Jadi pendakwaan memohon mereka dikenalan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Sementara itu, peguam, Norma Goh Kim Lian yang mewakili Mohamad Norakmal, Mohd Azwan, Dody, Mohamad Sufian dan Tengku Hazarul merayu anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum.
Katanya, mereka mengaku insaf selain mempunyai tanggungan keluarga.
“Mereka juga tidak mendapat sebarang faedah daripada perbuatan dilakukan selain tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.
Sementara itu, peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Muhammad Al Hatim merayu atas alasan sama dan tertuduh memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.
Sebelum ini, enam tertuduh itu merupakan antara 14 individu yang didakwa pada Oktober 2022, atas kes culik mangsa terbabit.
Lapan lagi tertuduh itu ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44; Mohamad Naziree Mustapha, 44; Faizull Hardey Mohd Isa, 45; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30; Mohd Zaidi Mohd Zain, 59; Nidarahayu Zainal, 39; Raibafie Amdan, 44; dan Edy Ko'im Said, 45.
Kes mereka akan diteruskan dengan perbicaraan, yang sepatutnya bermula 7 hingga 11 Julai.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun itu untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kesalahandidakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 September 2022.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

