Pendapatan disekat, aset dibeku jika ingkar bayar nafkah - JKSM

BALIK PULAU - Individu yang gagal mematuhi perintah Mahkamah Syariah termasuk tidak membayar nafkah anak selepas penceraian, berisiko disekat pendapatan dan dibekukan aset mereka.
Langkah penguatkuasaan itu antara tindakan yang kini giat dilaksanakan bagi memastikan pihak bertanggungjawab tidak lagi boleh ‘lepas tangan’ selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, usaha berkenaan telah digerakkan sejak dua hingga tiga tahun lalu susulan beberapa pindaan undang-undang yang membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pesalah.
“Antara pendekatan yang digunakan ialah sekatan terhadap sumber pendapatan, pelaksanaan hiwalah iaitu pemindahan tanggungan hutang dan pengubahsuaian pembayaran melalui bank.
“Aset milik pihak yang culas juga boleh dibekukan dan disalurkan semula kepada pihak yang sepatutnya menerima nafkah. Ini bagi memastikan pematuhan terhadap perintah mahkamah benar-benar berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Literasi Syariah Madani 2025 di Masjid Daerah Barat Daya di sini pada Khamis.
Menurut beliau, mesej jelas perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa perintah Mahkamah Syariah bukan sekadar di atas kertas, sebaliknya wajib dipatuhi dan akan dikuatkuasakan.
Katanya lagi, pasukan khas seperti Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) juga digerakkan untuk mengesan pesalah dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Jelasnya lagi, usaha penguatkuasaan ini adalah hasil kerja berterusan pihak berkuasa sebelum ini termasuk ketua pengarah terdahulu dan kini berada dalam fasa pelaksanaan sepenuhnya.
“Kadang-kadang peruntukan undang-undang memang sudah ada, tetapi masyarakat terutama netizen tidak sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk menuntut nafkah dan keadilan.
“Sebab itu juga kita teruskan kempen literasi perundangan Syariah agar masyarakat tahu ruang, peluang dan hak-hak yang mereka boleh tuntut di Mahkamah Syariah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amran berkata, Mahkamah Syariah bukan sekadar tempat menghukum sebaliknya berperanan menyantuni, menyelesaikan pertikaian dan memberikan keadilan sepenuhnya kepada masyarakat.
Menurutnya, peranan tersebut hanya dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya masyarakat mempunyai akses kepada maklumat yang betul dan tepat berhubung proses perundangan syariah.
"Berdasarkan pengalaman kita, masih ramai yang hadir ke mahkamah dalam keadaan keliru dan emosi, tanpa memahami proses yang perlu dilalui. Proses di Mahkamah Syariah sebenarnya teratur dan tersusun, namun ia hanya berfungsi dengan baik jika masyarakat faham dan tahu hala tuju mereka.
"Kita tidak mahu Mahkamah Syariah dilihat sebagai institusi menghukum semata-mata. Sebaliknya, kita mahu ia menjadi institusi yang dekat dengan rakyat, yang mendengar denyut nadi masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

