Kes liwat bersiri: Lelaki Pakistan guna helah ambil barang, pesan e-hailing

SHAH ALAM - Meminta bantuan mengambil barang serta mendapatkan kenderaan e-hailing antara taktik digunakan individu warga Pakistan yang diburu polis disyaki terbabit dalam beberapa siri kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki di sekitar Seksyen 27 dan 28, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek dikesan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya mangsa.
"Modus operandi suspek adalah dengan memanggil mangsa dan meminta tolong mengambil barangan di satu-satu lokasi.
"Ketika mangsa leka, suspek akan memeluk mereka dari belakang dan mencekik sekiranya mangsa cuba melawan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, suspek turut akan meminta bantuan mangsa untuk menempah kenderaan e-hailing.
"Suspek kononnya bertanyakan sesuatu sebelum menumbuk dan menarik mangsa ke lokasi sunyi bagi melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
"Suspek dipercayai akan mengekori mangsa dari jauh sebelum mengambil peluang ketika mangsa bersendirian," katanya.
Menurutnya, setakat ini, semua mangsa dikenal pasti terdiri daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis giat memburu seorang lelaki warga Pakistan dipercayai terlibat dalam beberapa siri kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki sekitar Seksyen 27 dan 28 di sini.
Empat kertas siasatan telah dibuka melibatkan dua siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

