Polis buru lelaki Pakistan disyaki perdaya kanak-kanak sebelum liwat, amang seksual

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Polis giat memburu seorang lelaki warga Pakistan dipercayai terlibat dalam beberapa siri kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki sekitar Seksyen 27 dan 28 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, empat laporan polis diterima membabitkan kejadian yang berlaku sejak April lalu dan kesemua mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki.
"Siasatan awal mendapati semua kejadian dipercayai dilakukan oleh individu yang sama berdasarkan modus operandi serupa iaitu suspek pada mulanya meminta pertolongan daripada mangsa sebelum membawa mereka ke kawasan sunyi untuk melakukan jenayah.
"Empat kertas siasatan telah dibuka melibatkan dua siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, individu terbabit dianggarkan berusia lingkungan 30-an.
"Semakan mendapati alamat terakhir suspek di Flat Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam.
"Individu terbabit kini sedang diburu polis dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

