Pembelian aset secara G2G langkah bijak perangi rasuah

SHAH ALAM - Pendekatan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam urusan pembelian aset negara dilihat sebagai langkah bijak dan bertepatan dalam usaha membanteras rasuah serta menambah baik tadbir urus kerajaan.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, pembelian melalui kaedah kerajaan kepada kerajaan (G2G) diyakini dapat mengurangkan ketirisan dan mengelak penglibatan orang tengah.
Menurutnya, tanpa ejen atau pihak ketiga pemantauan terhadap proses pembelian dapat dilakukan secara lebih telus dan efisien.
"Ini secara langsung dapat melindungi dana awam, memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan serta menjaga kestabilan ekonomi negara.
“Pendekatan ini bukan hanya berkisar soal pembelian biasa, tetapi menyentuh aspek keselamatan awam dan kedaulatan negara.
"Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk keluar daripada belenggu budaya rasuah yang telah sekian lama mencemarkan pentadbiran negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, kerajaan Madani kekal konsisten dalam usaha memerangi rasuah, termasuk urusan pembelian aset dan sistem pertahanan negara sekarang kini dilaksanakan menerusi perolehan G2G tanpa melibatkan ejen atau komisen.
Perdana Menteri berkata, langkah itu sebahagian daripada pendekatan baharu yang diambil kerajaan bagi memastikan ketelusan dan perkara itu turut dibincangkan secara rasmi dengan pihak kerajaan Perancis dan Itali baru-baru ini.
Tambah Hamdan Daniel, dalam pada itu, usaha ini diharap akan memberi impak positif kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah global serta mengangkat nama negara sebagai antara yang serius dalam memerangi gejala tersebut.
"Rakyat juga perlu bersama-sama menyokong inisiatif kerajaan dalam mewujudkan pentadbiran bersih, telus dan berintegriti demi masa depan Malaysia yang lebih cerah dan sejahtera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

