SPRM tubuh Kaukus Antirasuah, angkat suara rakyat perangi rasuah

Kaukus yang melibatkan penyertaan CSO itu merupakan usaha memperkasa suara rakyat dalam agenda membanteras rasuah di negara ini.
Kaukus yang melibatkan penyertaan CSO itu merupakan usaha memperkasa suara rakyat dalam agenda membanteras rasuah di negara ini.
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan sebuah Kaukus Antirasuah melibatkan penyertaan organisasi masyarakat sivil (CSO) sebagai usaha memperkasa suara rakyat dalam agenda membanteras rasuah di negara ini.

Langkah itu merupakan pelaksanaan Substrategi 3.5 di bawah Strategi 3: Suara Rakyat dalam pelan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang diumumkan kerajaan pada 7 Mei lalu.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu digerakkan oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan sokongan strategik dan teknikal daripada Institut Integriti Malaysia (IIM).

"Kaukus ini menjadi platform berstruktur kepada CSO untuk berkongsi kepakaran serta pandangan secara aktif melalui laporan dan cadangan tahunan kepada kerajaan.

"Penubuhan ini turut menyokong Substrategi 3.1 iaitu mewujudkan saluran tetap bagi membolehkan organisasi masyarakat memainkan peranan langsung dalam pelaksanaan dasar antirasuah negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, penubuhan kaukus tersebut antara pendekatan strategik bagi merakyatkan perjuangan membanteras rasuah, selari dengan lima tunjang utama yang digariskan dalam NACS iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif.

"Ahli kaukus terdiri daripada pelbagai pertubuhan berkelayakan yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan komitmen dalam bidang integriti, pencegahan rasuah serta tadbir urus.

"Keanggotaan bersifat inklusif dan mewakili pelbagai sektor masyarakat termasuk belia, pelajar, komuniti korporat, usahawan dan wakil antarabangsa bagi membentuk pendekatan kolaboratif dan menyeluruh," katanya.

Mengulas peranan ahli, SPRM menjelaskan setiap anggota bertanggungjawab menyumbang kepakaran dalam perancangan serta pelaksanaan aktiviti kaukus.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga bertindak sebagai ejen penyebar maklumat berkaitan isu rasuah, perantara antara organisasi dan masyarakat, serta pengemuka isu dan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan NACS.

"Ahli turut digalakkan menjadi penggerak kepada program-program kesedaran dan pendidikan antirasuah yang bakal dijalankan di pelbagai peringkat," jelas kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!