Rasuah daftar kelahiran, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 ditahan

Ahmad Khusairi
Ahmad Khusairi
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM telah melancarkan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa, membabitkan serbuan ke atas beberapa premis, termasuk klinik serta firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Bagi Op Outlander, beliau berkata, suspek utama merupakan seorang penjawat awam yang disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan pendaftaran lewat kelahiran, iaitu kes yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

"Dipercayai kegiatan ini turut didalangi oleh seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin serta berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.

Pegawai SPRM memeriksa dokumen berhubung kes rasuah daftar kelahiran di beberapa premis termasuk klinik serta firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor menerusi serbuan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa.
Foto SPRM.
Pegawai SPRM memeriksa dokumen berhubung kes rasuah daftar kelahiran di beberapa premis termasuk klinik serta firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor menerusi serbuan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa. Foto SPRM.

"Untuk Op Birth, tiga suspek utama disyaki sebagai ejen yang melakukan perbuatan tersebut dengan menawar serta memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, enam orang awam yang disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran.

Tambahnya, seorang pengamal undang-undang turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah antara ejen dan pemohon.

"Seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an telah ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan serta akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor," ujarnya.

Beliau berkata dua suspek, termasuk individu bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan, telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai dirakam percakapan.

Dua pegawai SPRM bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas di sebuah klinik dalam serbuan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa. Foto SPRM
Dua pegawai SPRM bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas di sebuah klinik dalam serbuan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa. Foto SPRM

Katanya, serbuan yang dilakukan pada Selasa adalah berdasarkan maklumat hasil risikan selama kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ahmad Khusairi berkata penangkapan tersebut mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam, demi menjamin keselamatan negara.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!