JPNJ siasat kes kemalangan van sekolah bawa 22 murid

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), akan melakukan siasatan dalaman berhubung kemalangan melibatkan sebuah van sekolah yang melanggar sebuah treler rosak di susur keluar Bandar Dato Onn menghala arah utara di sini, semalam.
Menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, antara aspek yang akan diberikan perhatian adalah dari segi aspek kapasiti van berkenaan.
"Aspek daripada kapasiti penumpang van yang melibatkan murid-murid SJKT Ladang Tebrau itu antara perkara yang akan kita berikan perhatian.
"Ya betul, kapasiti pelajar ini akan dilihat oleh pihak JPNJ, cuma apa yang kita faham dalam keadaan sekarang, sekolah terlibat terlalu jauh dengan tempat tinggal (pelajar).
"Justeru, kita cuba mendapatkan maklumat supaya mungkin ada pengusaha-pengusaha van yang lain, boleh bantu untuk menghantar pelajar yang duduk jauh ke sekolah buat masa ini," katanya.

Aznan berkata demikian pada sidang akhbar setelah melawat pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu, di sini pada Selasa.
Dalam kemalangan berkenaan, empat pelajar dilaporkan mengalami kecederaan ringan dengan dua daripadanya dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), sementara pemandu van patah kaki.
Bagaimanapun kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Aznan berkata, JPNJ juga akan menghantar kaunselor untuk memberikan bantuan pemulihan trauma kepada pelajar dan ibu bapa yang terkesan akibat kemalangan berkenaan.
Katanya, langkah berkenaan dibuat bagi membantu mangsa termasuk keluarga mengatasi trauma yang dialami setelah terbabit dalam kemalangan berkenaan
"Selain itu, pembinaan SJKT baharu dapat memudahkan pelajar yang tinggal berjauhan untuk ke sekolah berdekatan sekali gus mengurangkan isu kepadatan penduduk.
"Kita ada kelulusan dua tapak tanah di Taman Impian Mas dan juga di Skudai, itu dua option yang kita telah usahakan. Insya-ALLAH, kalau ada dana daripada kerajaan Persekutuan, kita akan cuba bina SJKT yang baharu," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebuah van sekolah yang membawa 22 murid terlibat dalam nahas dengan sebuah treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

