'Saya tak salahkan pemandu van sekolah, tapi kalau nyawa hilang boleh ganti balik?'

JOHOR BAHRU - “Saya tak salahkan dia, tapi kalau satu nyawa hilang, boleh dia ganti balik?”
Demikian luahan M Kartthiyani, 47, ibu kepada salah seorang mangsa kemalangan van sekolah, S Tanalecumy, 11, ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Selasa.
Menurut Kartthiyani, beliau pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut oleh pemandu van.
Malah, katanya, beliau turut menangis apabila melihat keadaan van berkenaan yang dikirimkan oleh suaminya.
“Masa kemalangan tu saya tengah kerja, dan di tempat kerja saya tak dibenarkan guna telefon. Untuk sebarang kecemasan, saya berikan nombor telefon penyelia (supervisor).
"Suami yang telefon dan tunjuk video kemalangan van tersebut. Bila tengok kemalangan itu, saya terus menangis.
"Selepas kemalangan itu, pemandu van sekolah terbabit ada menghantar mesej memohon maaf dan bertanyakan keadaan anak saya yang cedera. Apa pun, sekali lagi, saya tak salahkan dia," katanya.

Untuk rekod, Tanalecumy merupakan salah seorang daripada 22 murid yang terlibat dalam nahas dengan sebuah treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato’ Onn, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan, di sini pada Isnin.
Dalam kemalangan itu, Tanalecumy mengalami kecederaan di kaki, tangan dan rahang.
Dalam pada itu, seorang lagi ibu bapa, M Gunaseelan, 37, bapa kepada G. Tharshvin, 11, turut tidak menyalahkan pemandu van susulan kemalangan tersebut.
Katanya, apa yang penting ketika ini adalah memastikan anaknya kembali pulih seperti sediakala.
“Saya pun tidak mahu menyalahkan pemandu sebab tiada siapa hendak kemalangan macam ini berlaku kan?
“Saya bersyukur, sekurang-kurangnya semua anak-anak selamat. Van itu berlanggar dengan sebuah treler dan sudah cukup mengejutkan dan menyeramkan bagi kami, ibu bapa," katanya.
Sementara itu, Gunaseelan berkata, beliau lega kerana anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan parah, sebaliknya hanya menerima beberapa jahitan akibat luka di bahagian dahi, hidung dan mulut.
Katanya, anaknya itu merupakan penumpang yang paling hampir dengan pemandu van tersebut kerana duduk di belakang tempat duduk pemandu.
“Anak lelaki saya juga duduk di bahagian belakang pemandu, dan mungkin terkena penghadang besi van akibat kemalangan itu.
“Tetapi keadaannya stabil sekarang. Cuma setakat ini kena guna straw untuk makan dan minum sebab ada luka dalam mulut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
