Van sekolah bawa 22 murid kemalangan dengan treler

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Sebuah van sekolah yang membawa 22 murid terlibat dalam nahas dengan sebuah treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Azizi Zakaria memaklumkan, 10 anggota termasuk dari BBP Kempas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 1.10 tengah hari.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan van sekolah dan treler bawa muatan simen.
“Terdapat 22 mangsa terdiri daripada murid sekolah di dalam van tersebut. Pemandu van sekolah tersepit di tempat duduk manakala tiga murid mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Muhamad Aziz, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan bersama seorang kanak-kanak lelaki yang cedera kepada ambulans.
"Sementara dua kanak-kanak perempuan yang turut cedera dihantar menggunakan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan.
"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.
Sebelum itu tular video selama 10 saat memaparkan orang ramai membantu kanak-kanak dalam nahas membabitkan van sekolah dan sebuah treler.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada Unit Siasatan Lebuhraya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada jam 6.23 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 2 petang, membabitkan van sekolah dari arah susur Dato Onn menghala utara Johor, sebelum melanggar belakang treler yang berhenti di lorong itu kerana masalah enjin.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

