Dua remaja ditahan curi motosikal, pecah masuk sekolah agama

Dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes curi motosikal dan pecah masuk sebuah sekolah agama. - Foto IPD Johor Bahru Selatan
Dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes curi motosikal dan pecah masuk sebuah sekolah agama. - Foto IPD Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes curi motosikal dan pecah masuk sebuah sekolah agama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan dibuat Unit Rondaan Sektor (URS) Balai Polis Majidee dalam Op Lejang di kawasan Persiaran Southkey kira-kira jam 1 pagi, Selasa.

Menurut beliau, kedua-dua remaja itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika menolak sebuah motosikal.

“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal tersebut tidak mempunyai kunci pada suis dan disahkan masih dilaporkan hilang. Kedua-dua mereka ditahan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Raub berkata, sebelum itu polis menerima laporan kehilangan motosikal di kawasan perumahan bertingkat pada Sabtu lalu, dipercayai dicuri pada waktu malam.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek masih bersekolah menengah manakala seorang lagi tidak bersekolah. Malah, salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek mengaku menolak motosikal itu dari lokasi kejadian sebelum menyembunyikannya di dalam semak berhampiran dan cuba memindahkannya ke lokasi lain.

“Mereka turut mengaku terlibat dalam kes pecah masuk sebuah sekolah agama di Johor Bahru yang dilaporkan pada 23 Jun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja terbabit didapati negatif daripada penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan, yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Raub berkata, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 10 Julai bagi membantu siasatan.

“Polis mengambil pendirian tegas terhadap sebarang bentuk jenayah melibatkan golongan remaja kerana ia boleh menjadi titik mula kepada masalah lebih besar jika tidak dibendung,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!