Kelantan tak pernah berlaku pergolakan kaum - Mohd Nassuruddin

KOTA BHARU – Kelantan tidak pernah mengalami sebarang perbalahan atau rusuhan kaum dalam sejarahnya, menjadikan negeri itu antara contoh unik perpaduan sebenar di negara ini yang tidak dibentuk atas dasar retorik atau kempen semusim.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, fakta ini menjadi bukti jelas bahawa keharmonian kaum yang terjalin di negeri itu adalah hasil budaya hidup rakyat Kelantan sendiri, bukan kerana paksaan dasar atau sekadar slogan perpaduan.
“Sejarah membuktikan bahawa tidak pernah berlaku perbalahan kaum di negeri ini.
“Alhamdulillah, ini kelebihan dan keistimewaan yang mesti dipertahankan serta dikekalkan di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Kaum 2025 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini pada Isnin.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan, Lim Guan Seng, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kelantan, Datuk N. Subramaniam, serta komuniti Orang Asli.
Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa rakyat Kelantan membuktikan kehidupan harmoni antara kaum dapat dicapai tanpa perlu bergantung kepada polisi yang berat sebelah atau inisiatif retorik yang hanya muncul sempena musim tertentu.

“Di mana-mana pun, orang Kelantan tetap seperti adik-beradik.
“Jumpa Cina atau India Kelantan di Kuala Lumpur pun makan budu bersama, itu budaya kami,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa prinsip keadilan dalam Islam menjadi asas kukuh kepada perpaduan ini, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW ketika memimpin masyarakat majmuk di Madinah melalui Piagam Madinah.
“Islam ajar kita berlaku adil kepada semua dan tidak menzalimi antara satu sama lain.
“Lihat bagaimana Rasulullah SAW memimpin Madinah, bangsa lain tidak ditindas malah dijamin hak mereka,” katanya.
Tambah beliau, asal-usul kejadian manusia yang dicipta daripada Nabi Adam AS dan Hawa merupakan asas untuk menolak perpecahan kaum.
“Tok nenek kita semuanya berasal daripada Nabi Adam dan Hawa. Selepas itu, ALLAH menjadikan kita berbilang bangsa serta bahasa.
“Walau apa jua bangsa kita, kita semua berasal daripada keturunan yang sama,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

