Kes ugut bunuh Exco Armada: Saksi penting tampil dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR – Saksi penting berhubung kes ugutan bunuh membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga Exco Armada Bersatu akan memberi keterangan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, saksi berkenaan memaklumkan bahawa beliau mempunyai tugasan luar dan akan memberikan keterangan kepada pihak polis.
"Setakat ini, kita telah merakam keterangan dua individu iaitu pengadu dan isterinya bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa polis telah mengenal pasti saksi penting berhubung kes berkenaan.
Sulizmie Affendy berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya.
Polis percaya bahawa keterangan saksi penting itu adalah kunci untuk menjejaki pelaku yang terlibat dan memperjelas motif ugutan ke atas pengadu.
Bagaimanapun, menurut Sulizmie, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan ke atas mana-mana individu berkaitan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya giat mengesan identiti suspek yang terlibat dan menjalankan siasatan dari semua sudut selain memberi jaminan keutamaan kepada keselamatan pengadu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Rosdi M. Husin di talian 013-3920694.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage, mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Beliau membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
