Na’im Brundage terima ugutan bunuh, simbah asid

SHAH ALAM – Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Menurutnya, ancaman itu merupakan satu tindakan serius yang boleh mengancam keselamatan diri dan ahli keluarganya.
Justeru beliau telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.
“Saya telah menerima maklumat mengenai satu ancaman terhadap nyawa saya, melibatkan rancangan untuk membunuh atau mencederakan saya dengan menyimbah asid oleh seorang individu yang tidak saya kenali.
“Demi keselamatan, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Na’im, beliau tidak menolak kemungkinan ugutan tersebut bermotifkan politik berikutan keterlibatannya secara aktif dalam dunia politik serta kelantangannya menyuarakan pandangan secara terbuka di media sosial dan media massa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ugutan seumpama itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bersuara demi rakyat.
“Saya tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang bentuk ancaman, tekanan atau intimidasi.
"Saya tetap komited untuk menyuarakan kebenaran dan kepentingan rakyat,” ujarnya.
Na’im turut menggesa seluruh rakyat Malaysia agar menolak budaya politik ganas dan mempertahankan amalan politik matang berlandaskan undang-undang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang terus memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan dirinya serta keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

