Saksi penting kes ugut bunuh Exco Armada Bersatu dikenal pasti - Polis

Laporan Sinar harian pada Khamis.
Laporan Sinar harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua individu dirakam keterangan berkaitan ugutan bunuh membabitkan seorang Exco Armada Bersatu yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat individu berkenaan pada 2 Julai lalu kira-kira jam 9.13 malam.

"Pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada salah seorang rakannya pada jam 10.57 pagi hari sama yang menyatakan terdapat maklumat mengenai seorang lelaki yang dipercayai sedang merancang untuk membunuhnya.

"Bimbang terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Susulan laporan itu, Sulizmie berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal mendapati pengadu tidak mengenali individu yang merancang membunuhnya itu.

"Buat masa ini, polis sedang giat mengesan identiti suspek terlibat dan menyiasat dari semua segi dan memberi jaminan keselamatan pengadu," katanya.

Menurutnya, setakat ini dua individu telah dirakam keterangan manakala seorang lagi saksi penting telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya keterangan saksi ini merupakan kunci utama untuk menjejaki pelaku dan memperjelaskan motif ugutan yang diterima pengadu.

"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan terhadap mana-mana individu berkaitan kes ini," katanya.

Sulizmie berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Rosdi M. Husin di talian 013-3920694," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Exco Armada Bersatu, Na'im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Menurutnya, ancaman itu merupakan satu tindakan serius yang boleh mengancam keselamatan diri dan ahli keluarganya.

Justeru beliau telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!