Selagi kudrat masih ada, selagi itu mahu terus bajak sawah

JERLUN - Usia bukan penghalang buat Mohd Sobri Osman, 62, untuk terus setia mengurus sawah padi yang telah menjadi sumber rezekinya sejak lebih empat dekad lalu.
Meskipun menyedari kudrat semakin berkurang, semangatnya kekal utuh di tengah bendang.
Bermula sejak usia 22 tahun, kerja sawah bukan sekadar rutin harian bagi Mohd Sobri, malah sudah menjadi sebahagian daripada jati dirinya.
“Selagi kudrat masih ada, selagi itulah saya akan terus membajak sawah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Kini, Mohd Sobri masih menguruskan 10 hektar sawah bersama seorang pembantu, walaupun hanya mampu melakukan kerja ringan seperti memantau kawasan dan membantu setakat termampu.
“Saya buat kerja ringan-ringan seperti memantau kawasan sawah dan membantu pembantu setakat boleh. Buat setakat larat, jika letih saya rehat sekejap.
“Saya tak reti duduk diam. Duduk tanpa kerja membuatkan tubuh lebih lesu berbanding turun ke sawah. Apabila anak-anak tak bagi saya kerja, saya cakap tak kan nak minum kedai kopi pagi petang. Bosan,” katanya berseloroh.
Bapa kepada tujuh anak ini bagaimanapun boleh berbangga dengan kejayaan anak-anak dalam kerjaya masing-masing, malah ada yang menyambung pengajian di luar negara.
Namun, katanya, tiada seorang pun yang menyambung legasi sebagai pesawah.
”Bukan kerana mereka tidak minat, laluan hidup mereka sudah berbeza. Saya tak paksa, mereka ada masa depan sendiri selepas tamat pengajian dan ditawarkan pekerjaan,” katanya.
Mohd Sobri yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Jerlun berkata, masa depan dalam pertanian masih ada sinarnya dan pasti dapat menarik minat anak muda jika diberi peluang dan motivasi secukupnya.
“Sekarang yang buat padi semua orang tua-tua. Anak muda kata kerja ni teruk, kotor, tak berbaloi. Mungkin mereka tak nampak, ini juga satu perniagaan malah warisan bangsa kita.
“Sawah mengajar kita lebih sabar dan ikhlas. Bila tabur benih, kita tak terus dapat hasil. Perlu tunggu dan jaga, kena reda. Apabila hasilnya tiba waktu tuai, lumayan.
“Tapi anak muda sekarang mahukan gaji bulanan tetap, bukan menunggu musim menuai untuk dapat pendapatan. Mereka tidak salah, cuma belum faham sepenuhnya nilai kerja ini,” katanya.
Mohd Sobri turut mengajak generasi baharu mengerjakan sawah sebagai pelapis generasi tua.
”Kalau bukan anak muda tempatan, siapa lagi? Nak harap orang asing? Ini kerja tradisi orang Melayu. Tanah sawah bukan sekadar sumber rezeki, ia juga identiti masyarakat kita,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

