Terpaksa buat 'live' TikTok setiap hari untuk tarik pelanggan

Nik Muhammad Ashraf membuka gerai jualan di Payang Walk, Kuala Terengganu. Gambar kecil: Nik Muhammad Ashraf
Nik Muhammad Ashraf membuka gerai jualan di Payang Walk, Kuala Terengganu. Gambar kecil: Nik Muhammad Ashraf
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Trend pembelian secara dalam talian yang menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu mendorong peniaga pakaian tradisional menyesuaikan strategi perniagaan seiring dengan perubahan tersebut.

Nik Muhammad Ashraf Sabri, 30, berkata, walaupun pembelian secara fizikal masih wujud, trend kini menunjukkan orang ramai lebih cenderung kepada platform dalam talian.

Menurutnya, perubahan kaedah pembelian ini turut memberi kesan kepada perniagaannya yang mengusahakan jualan baju Melayu dan kurta bersama keluarga sejak 2020.

“Setiap tahun, semakin ramai pelanggan membeli secara online. Ramai yang lebih selesa beli dari rumah tanpa perlu datang ke butik atau gerai.

“Jadi kita perlu melakukan perubahan sesuai dengan kehendak pelanggan iaitu membuat jualan fizikal dan dalam masa yang sama turut membuka peluang untuk pelanggan membeli secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Payang Walk di sini.

Bagi menyesuaikan diri dengan perubahan trend, dia kini aktif membuat siaran langsung (live) di TikTok setiap hari dari butik utama di Dataran Austin.

“Walaupun pembelian online meningkat, butik fizikal masih penting untuk jenama dan pelanggan yang mahu melihat material secara langsung,” jelasnya.

Nik Muhammad Ashraf berkata, trend pembelian fizikal menunjukkan penurunan sedikit sejak kebelakangan ini kerana dipengaruhi perubahan gaya hidup dan corak pembelian.

Artikel Berkaitan:

“Jika jumlah perantau pulang ke kampung agak berkurangan, ia turut memberi kesan kepada jualan pakaian secara fizikal.

“Jadi, selari dengan perubahan semasa, kombinasi jualan dalam talian dan fizikal perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan,” ujarnya.

Nik Muhammad Ashraf mengendalikan cawangan jualan pakaian dengan jenama Byniks di Terengganu, termasuk butik utama di Dataran Austin, Kuala Nerus, One Jeans Store (Kuala Nerus) serta gerai jualan di Mesra Mall (Kemaman), Terengganu Trade Centre (TTC), Mayang Mall dan Payang Walk di Kuala Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!