Dua wanita rugi RM140,000 dakwa ditipu penceramah bebas

SHAH ALAM – Dua wanita mangalami kerugian RM140,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang juga penceramah bebas berkaitan projek pembangunan sekolah agama di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua pemilik syarikat berusia awal 40-an berkaitan kes itu di daerah Shah Alam dan Gombak.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengenali suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an pada tahun 2020. Lelaki itu didakwa memperdaya mangsa bagi tujuan projek pembangunan sekolah agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Hussein berkata, mangsa pertama melakukan tiga transaksi berjumlah RM60,000 antara Ogos hingga September 2020 manakala mangsa kedua pula membuat bayaran sebanyak RM80,000 pada tahun 2019.
“Siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dengan menggunakan nama institusi agama bagi meraih kepercayaan mangsa.
“Mangsa kemudiannya menyerahkan sejumlah wang kepada suspek bagi tujuan pembangunan sekolah tersebut,” katanya.
Jelas beliau, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada terhadap permintaan sumbangan atau pelaburan yang tidak dapat disahkan, terutamanya yang menggunakan nama institusi agama dan pendidikan.
“Jangan melakukan transaksi kewangan melalui akaun peribadi atau syarikat yang tidak berdaftar secara sah,” tegasnya.
Hussein turut menasihatkan orang awam yang mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan atau menerima panggilan yang meragukan supaya menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mendapatkan semakan, nasihat atau membuat aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!