Pembantu kedai rugi lebih RM140,000 terperdaya tawaran kerja

SIBU - Seorang pembantu kedai mengalami kerugian RM140,880 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa, lelaki berusia 50-an mula berhubung dengan seorang wanita melalui media sosial pada 22 Disember lepas dan suspek menawarkan pekerjaan menjual barangan seperti beg tangan, pakaian dan kasut di aplikasi TikTok.
"Tertarik dengan tawaran itu yang menjanjikan komisen sehingga 30 peratus, mangsa kemudian menekan pautan diberikan dan diarahkan untuk membuat pembayaran terlebih dahulu ke dalam akaun yang disediakan suspek,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dari 22 Disember hingga 24 Februai lepas, mangsa melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke 17 akaun bank tempatan berbeza, membabitkan jumlah keseluruhan RM140,880.
"Bagaimanapun, apabila mangsa cuba menuntut kembali wang dan komisen dijanjikan pada 25 Februari, suspek mendakwa akaun mangsa dibekukan dan meminta tambahan RM3,000 untuk mangsa menebus semula wang terbabit.
"Curiga dengan permintaan berkenaan, mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran kerja dalam talian yang meminta pembayaran awal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
