[VIDEO] Rafflesia keithi mekar di Poring: Hanya 7 hari untuk menyaksikan keindahannya

A
A
A

RANAU - Keajaiban alam kembali memukau pengunjung apabila bunga Rafflesia keithi, spesies 'gergasi' yang hanya mekar untuk tempoh yang sangat singkat, akhirnya mekar di kawasan Sub Stesen Mata Air Panas Poring, Taman Kinabalu.

Bunga Rafflesia keithi yang tumbuh dalam kawasan seluas 0.4 hektar itu kini telah memasuki hari ketiga mekar dan dijangka hanya dapat disaksikan dalam tempoh empat hari sahaja lagi sebelum layu dan reput.

Bunga tersebut, dengan saiz sekitar 65 sentimeter, merupakan yang pertama mekar pada tahun ini di Sabah.

Pengunjung yang ingin melihatnya hanya perlu berjalan kaki sekitar 150 meter dari Pusat Pelawat Poring untuk menyaksikan keindahan bunga itu, namun peluang ini hanya terbuka dalam tempoh yang sangat singkat kerana jangka hayatnya hanya lima hingga tujuh hari.

Ketua Projek Pusat Pemuliharaan Rafflesia Poring Taman-Taman Sabah (TTS), Abidin Giking menjelaskan Rafflesia adalah sejenis tumbuhan parasit berbunga yang menumpang pada akar pokok perumah untuk mendapatkan sumber makanan.

“Rafflesia yang berkembang ini adalah spesies Rafflesia keithi dan merupakan yang terbesar di Borneo. Tumbuhan ini mendapatkan sumber makanannya seperti air daripada akar, dan ia tidak akan tumbuh tanpa perumah.

“Bagi Rafflesia keithi, dari peringkat awal sehingga berkembang memerlukan tempoh antara 12 hingga 15 bulan dan mekar selama kira-kira seminggu sahaja. Saiznya bergantung kepada spesies.

"Untuk Rafflesia keithi, saiznya antara 60 hingga 70 sentimeter. Walaupun dikategorikan sebagai sederhana besar, saiz setiap bunga adalah berbeza,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat penyelidikan itu pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Rafflesia keithi memerlukan tempoh antara 12 hingga 15 bulan untuk berkembang, namun hanya mekar tujuh hari. Gambar kecil: Abidin
Rafflesia keithi memerlukan tempoh antara 12 hingga 15 bulan untuk berkembang, namun hanya mekar tujuh hari. Gambar kecil: Abidin

Beliau menjelaskan bahawa Rafflesia keithi tumbuh di kawasan tanah rendah yang redup, dan tidak akan ditemui di kawasan berbukit atau beriklim sejuk.

“Apabila bunganya berkembang dan terdedah kepada cahaya matahari, ia akan cepat menjadi hitam dan layu. Malah, tumbuhan ini sangat sensitif dan tidak boleh disentuh,” jelasnya.

Ditanya mengenai cara pembiakan dan struktur bunga, beliau menjelaskan bahawa bahagian tengah bunga mempunyai struktur berbentuk cakera yang dikelilingi duri kecil dikenali sebagaiprocesses.

“Pendebungaan berlaku di bahagian ini apabila haiwan seperti tupai memakan atau membawa benih ke akar pokok perumah.

“Sekiranya benih itu berjaya melekat, ia akan mengambil masa sehingga 46 bulan untuk menghasilkan putik atau bud berbentuk bulat.

"Seterusnya, dari peringkat bud hingga mekar sepenuhnya sebagai bunga Rafflesia, ia memerlukan tambahan 12 hingga 15 bulan lagi. Jadi, proses pertumbuhannya memang sangat lama,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan tempoh pertumbuhan yang panjang, adakalanya Rafflesia tidak berkembang langsung dalam tempoh setahun.

Usaha memelihara dan memulihara Rafflesia dilakukan dengan penanaman benih di Pusat Pemuliharaan Rafflesia yang terletak di Poring, Ranau.
Usaha memelihara dan memulihara Rafflesia dilakukan dengan penanaman benih di Pusat Pemuliharaan Rafflesia yang terletak di Poring, Ranau.

“Ia pernah berlaku sebelum ini. Namun, ada juga ketika dalam satu bulan kita merekodkan tiga bunga berkembang serentak. Ia bergantung kepada perkembangan bud,” tambahnya.

Mengenai mitos yang mengatakan Rafflesia mengeluarkan bau busuk kerana memakan serangga, Abidin menjelaskan bunga yang mekar akan mengeluarkan bau, tetapi tidak terlalu kuat seperti bangkai.

"Bau ini bertujuan menarik perhatian lalat bagi membantu proses pendebungaan.

“Sebenarnya, walaupun saiznya besar, Rafflesia tidak memakan sebarang serangga. Ia sepenuhnya bergantung kepada pokok perumah berdekatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Rafflesia tidak sama seperti tumbuhan periuk kera yang sememangnya memerangkap serangga sebagai makanan.

“Kenyataan bahawa Rafflesia memakan serangga adalah mitos,” ujarnya.

Masyarakat mulai sayang Rafflesia

Usaha memelihara dan memulihara bunga Rafflesia sebagai khazanah alam sekitar di Sabah giat dilaksanakan menerusi penubuhan Pusat Pemuliharaan Rafflesia, khususnya bagi spesies Rafflesia keithi, yang diwujudkan pada tahun 2002 di Sub Stesen Mata Air Panas Poring, Taman Kinabalu.

Ketua Unit Botani Taman-Taman Sabah (TTS), Matsain Mohd Buang berkata, penubuhan Pusat Pemuliharaan Rafflesia Poring itu mempunyai empat objektif utama dalam usaha melindungi tumbuhan tersebut daripada ancaman kepupusan serta memastikan kesinambungan spesies berkenaan untuk tatapan generasi akan datang.

“Pertamanya ialah untuk konservasi dalam dua bentuk, iaitu ex situ dan in situ. Untuk pusat pemeliharaan ini, fokus lebih kepada konservasi ex situ, iaitu kita ambil tumbuhan dari tempat lain dan tanam di pusat ini bagi memudahkan pelawat melihat Rafflesia dengan lebih dekat, manakala in situ pula adalah penjagaan di habitat semula jadi.

“Objektif kedua bagi memudahkan kerja penyelidikan kerana Rafflesia berada di kawasan yang terkawal.

“Seterusnya, tujuan pendidikan – aktiviti dijalankan terutamanya kepada pelajar sekolah supaya ilmu ini dapat dikongsi kepada generasi muda. Dan yang terakhir ialah untuk rekreasi, di mana tempat ini dibuka untuk pelawat tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pemuliharaan Rafflesia keithi di sini pada Sabtu.

Tambahnya lagi, statistik pengunjung setakat ini amat memberangsangkan dan secara umum, tahap kesedaran pelawat tentang kepentingan Rafflesia semakin meningkat.

“Ini termasuk kesedaran masyarakat untuk lebih peka terhadap penjagaan tumbuhan tersebut kerana sebelum ini, Rafflesia yang berada di hutan sering dirosakkan.

“Jadi dengan adanya kesedaran ini, mereka mula menyayangi Rafflesia dan berusaha memastikan ia tidak pupus daripada muka bumi, khususnya di Sabah,” ujarnya.

Matsain memaklumkan terdapat tiga spesies Rafflesia yang hanya terdapat di Sabah.

“Di Sabah, kita mempunyai tiga spesies iaitu Rafflesia keithi yang berada di Poring, Rafflesia pricei yang tumbuh di kawasan Trusmadi, Tambunan, manakala Rafflesia tengku adlinii pula boleh ditemui di Maliau Basin.

“Kesemua spesies ini tidak terdapat di tempat lain, maka boleh dikatakan bunga ini memang rare,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa spesies Rafflesia lain boleh ditemui di Sarawak serta beberapa negara jiran seperti Brunei, Sumatera dan Kalimantan di Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!