Kejar kaya guna jalan singkat, binasa akhirnya

MENGEJUTKAN tetapi benar. Itu yang boleh digambarkan apabila baru-baru ini, polis berjaya membongkar taktik luar biasa satu sindiket dadah yang sanggup menyembunyikan puluhan kilogram pil kuda di bawah timbunan najis lembu semata-mata mahu mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes tersebut bukan sahaja membuktikan kecekapan pihak berkuasa, tetapi juga bagaimana manusia sanggup melakukan apa sahaja demi cepat kaya.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, enam suspek tempatan termasuk seorang wanita ditahan, manakala 35.4 kilogram pil kuda bernilai RM5.04 juta dirampas dalam serbuan pada 27 Jun lepas.
Beberapa aset mewah bernilai RM1.1 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas dan kereta Mustang Ecoboost 2.3 turut disita dalam serbuan tersebut.
Sindiket terbabit dipercayai menggunakan kandang lembu di belakang rumah suspek sebagai stor rahsia dadah, manakala najis lembu sebagai 'topeng' bagi mengelakkan aktiviti haram mereka dihidu.
Taktik sindiket berkenaan jelas menunjukkan keinginan untuk cepat kaya mampu menjerumuskan manusia ke tahap yang paling menjijikkan.
Lebih menyedihkan, kebanyakan yang terlibat dalam sindiket itu terdiri daripada anak muda tempatan berusia 25 hingga 39 tahun.
Mereka sanggup mempertaruhkan masa depan, nama baik keluarga dan maruah diri hanya kerana mahu menikmati kemewahan secara pantas tanpa perlu berusaha di jalan yang benar.
Perlu ditegaskan, tiada jalan mudah untuk berjaya, sebaliknya setiap kekayaan dibina tanpa asas sah dan kukuh pasti akan roboh suatu hari nanti.
Mereka yang memilih jalan haram hanya mencipta kehancuran buat diri dan keluarga.
Oleh kerana itu, masyarakat perlu sedar bahawa kemewahan segera daripada kegiatan haram hanyalah ilusi.
Perbuatan tersebut mungkin menjanjikan kereta mewah, wang berlimpah dan gaya hidup luar biasa, tetapi akhirnya hanya membawa ke pintu penjara.
Kesimpulannya, kekayaan sebenar datang daripada usaha, kesabaran dan kejujuran.
Justeru, jangan sesekali gadaikan maruah diri hanya kerana mahu cepat kaya.
Ingatlah, biar lambat asal selamat, daripada kaya sekejap tetapi sengsara seumur hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

