31 penumpang bas ekspres, 4 pemandu disaman tidak pakai tali pinggang keledar

Anggota JPJ memeriksa keadaan tali pinggang keledar yang disediakan dalam sebuah bas ekspres.
Anggota JPJ memeriksa keadaan tali pinggang keledar yang disediakan dalam sebuah bas ekspres.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 31 saman ke atas penumpang bas ekspres yang gagal memakai tali pinggang keledar dalam tempoh penguatkuasaan khas selama lima hari bermula Selasa lalu.

Masing-masing disaman RM300, selain empat pemandu bas juga dikenakan saman sama atas kesalahan itu.

Turut dikeluarkan saman ke atas empat bas kerana sistem tali pinggang rosak walaupun kenderaan itu ialah keluaran selepas 2020 yang sepatutnya lengkap dengan kemudahan keselamatan tersebut.

Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, bas yang mempunyai tali pinggang keledar tetapi tidak dapat digunakan tetap akan dikenakan tindakan kerana dianggap gagal diselenggara dengan baik.

“Bas itu memang sudah dipasang tali pinggang keledar kerana dibina selepas 1 Januari 2020, maka syarikat pengendali dikenakan saman RM300 akibat sistem keselamatan itu tidak berfungsi.

“Selain itu, 31 penumpang dari 23 bas dan empat pemandu bas juga disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya pada sidang media sempena Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Kelantan Siri 1/2025 di sini pada Ahad.

Beliau berkata, tindakan dibuat mengikut peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Tambah beliau, penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar itu membabitkan pemeriksaan 162 bas ekspres, khususnya di laluan utama seperti Kota Bharu-Kuala Lumpur, Kota Bharu-Terengganu dan Kota Bharu-Pahang.

“Kami keluarkan saman RM300 kepada penumpang berumur 18 tahun ke atas, manakala bagi mereka yang bawah 18 tahun dikenakan notis amaran sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi mekanisme penguatkuasaan, Mohd Misuari berkata, JPJ tidak mengenakan tindakan saman semasa bas berada dalam kawasan terminal, sebaliknya penguatkuasaan bermula sebaik sahaja bas bergerak keluar.

“Tak kira jarak sama ada 100 meter atau lebih, sebaik bas keluar terminal, kami mulakan tindakan saman.

“Anggota bukan sahaja berada di Stesen Penguat Kuasa untuk pemeriksaan, tetapi turut melakukan pemeriksaan dalam rondaan di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, JPJ turut menjalankan aktiviti advokasi awal sejak beberapa bulan lalu termasuk libat urus bersama syarikat bas, hebahan di kaunter tiket dan edaran risalah di terminal.

“Saya ingatkan penumpang supaya tidak ambil ringan soal pemakaian tali pinggang keledar kerana hal ini melibatkan keselamatan nyawa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!