Perlu lebih tegas ingatkan penumpang pakai tali pinggang keledar - APAD

Mohammad Fakhri (dua dari kiri) menunjukkan tali pinggang keledar yang disediakan pengendali bas di tempat duduk penumpang.
Mohammad Fakhri (dua dari kiri) menunjukkan tali pinggang keledar yang disediakan pengendali bas di tempat duduk penumpang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pengendali bas ekspres digesa agar lebih tegas dalam mengingatkan penumpang mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan sepanjang perjalanan.

Ketua Wilayah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Timur, Mohammad Fakhri Mansor berkata, pemakaian tali pinggang keledar tidak boleh dipandang ringan dan pemantauan perlu dilakukan secara berterusan oleh pemandu serta syarikat pengendali.

"Setiap kali berlaku pelanggaran, ia adalah tanda ketidakpatuhan terhadap aspek keselamatan. Kita mahu pemandu bukan sahaja membawa kenderaan bernilai RM1.2 juta, tetapi juga menyedari mereka membawa nyawa manusia yang jauh lebih bernilai.

"Pemandu perlu tegas. Bukan sekadar ingatkan, tetapi pastikan semua penumpang patuhi peraturan sebelum memulakan perjalanan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bas Baharu Darul Iman Express di Terminal Bas MBKT di sini pada Khamis.

Menurutnya, APAD sentiasa mengadakan siri kesedaran keselamatan jalan raya kepada syarikat bas dan lori termasuk kempen pematuhan penggunaan tali pinggang keledar.

"Tahun ini sahaja kita anjurkan empat siri kesedaran dan terbaharu di Kelantan. Sambutan sangat baik dengan lebih 120 penyertaan daripada pengendali, termasuk lebih 80 syarikat yang kini terlibat aktif dalam inisiatif keselamatan ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Darul Iman Express, Laili Ismail berkata, pihaknya sentiasa memastikan pemandu memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang sebelum dan selepas berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R).

"Kita memang makluman kepada pemandu setiap kali sebelum bergerak dan ketika berhenti rehat. Mereka juga akan buat pemeriksaan secara Visual setiap penumpang sebelum memulakan semula perjalanan.

"Selain itu, kita juga ada kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera 360 darjah dalam bas untuk pemantauan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam aspek pemakaian tali pinggang keledar ini, tanggungjawab kita sebagai pengendali bas beri kesedaran dan peringatan kepada mereka.

"Namun, sekiranya mereka masih tidak patuh, mereka akan dikenakan oleh pihak berkuasa jika didapati melanggar peraturan itu," katanya.

Dalam pada itu, Laili berkata, dua bas Darul Iman Express baharu yang dilancarkan pada Khamis dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti had laju dikunci kepada 90km/j, sistem GPS 24 jam, kamera pemantau dalam dan luar bas.

Jelas beliau, setakat ini terdapat 12 unit bas tersebut dengan setiap satu unit bas bernilai sekitar RM1.2 juta.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!