PGA gagalkan cubaan seludup mi segera bernilai RM207,000

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup puluhan kotak mi segera jenama Zow-Zow yang dianggarkan bernilai RM207,000 selepas menahan sebuah lori di Sekatan Jalan Raya (SJR) Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, Pasir Mas, pada Selasa.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan sekitar 6.30 petang.
Beliau berkata, seorang pemandu lelaki tempatan berusia 46 tahun, yang dipercayai bertindak sebagai penghantar mi segera yang disyaki diseludup dari negara jiran, turut ditahan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983, dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Batalion 9 PGA Briged Tenggara dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu turut menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram di kawasan lombong di Lubuk Terak, Mukim Rusila, Marang, Terengganu, pada Selasa.
Nik Ros Azhan berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Op Bersepadu Khazanah sekitar 5 petang selain turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 57 tahun yang gagal menunjukkan lesen pelombongan yang sah.
Menurutnya, polis merampas kesemua peralatan dan mesin jentera yang digunakan untuk melombong dengan anggaran nilai RM1.89 juta, manakala kes ini disiasat dibawah Akta Enakmen Mineral Terengganu 2002 iaitu melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.
"Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
