Rokok campur dadah dijual RM9,600 sekotak, pasangan kekasih dicekup

Muhamad Farid (kanan) menunjukkan tembakau yang dipercayai telah dicampurkan dengan dadah.
Muhamad Farid (kanan) menunjukkan tembakau yang dipercayai telah dicampurkan dengan dadah.
A
A
A

SERDANG – Taktik licik sepasang kekasih yang menjual rokok dicampur dadah terbongkar apabila diberkas dalam serbuan polis di sebuah unit kondominium di sini pada Selasa.

Kedua-dua suspek dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit apabila menjual rokok bercampur dadah itu pada harga mencecah RM9,600 bagi setiap kotak mengandungi 120 batang rokok.

Kegiatan haram itu dilakukan pasangan tersebut yang turut berniaga batu jed, berselindung di sebalik sebuah unit kondominium yang disewa dengan harga sekitar RM1,700 sebulan dan dijadikan lokasi memproses bahan terlarang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerusi Ops Tapis, kira-kira jam 1 tengah hari.

Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan dua suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berumur 33 tahun.

“Antara yang dirampas ialah satu kotak plastik lut sinar mengandungi daun kering dipercayai dicampur methamphetamine seberat 10.07 kilogram, serta dua kotak hitam mengandungi 240 batang rokok tembakau bercampur methamphetamine seberat kira-kira 0.18 kilogram.

“Turut ditemukan lima kotak hitam berisi 600 batang rokok kosong, dua peket plastik lut sinar mengandungi dadah syabu seberat 0.0061 kilogram, sebotol kaca mengandungi cecair putih dipercayai methamphetamine seberat 200 mililiter, serta sebotol kaca lagi berisi cecair perang seberat 100 mililiter,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini pada Jumaat.

Muhamad Farid menunjukkan mesin pembuat rokok yang dirampas dalam serbuan pada Selasa.
Muhamad Farid menunjukkan mesin pembuat rokok yang dirampas dalam serbuan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis turut merampas mesin pembuat rokok yang digunakan untuk membungkus semula dadah ke dalam batang rokok.

“Siasatan mendapati tembakau itu akan digaulkan dan dicampur dengan cecair methamphetamine sebelum dimasukkan ke dalam batang rokok.

“Suspek dipercayai akan mencuba dahulu rokok tersebut sehingga mendapat kesannya sebelum membungkus dan memasukkannya ke dalam kotak untuk dijual pada harga RM80 sebatang. Satu kotak mengandungi 120 batang dengan harga boleh mencecah RM9,600,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati rokok campuran dadah itu dijual untuk pasaran sekitar Lembah Klang, khususnya di pusat hiburan.

“Saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,000 dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah, dan tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Tambah beliau, keseluruhan nilai rampasan dadah dalam serbuan tersebut dianggarkan berjumlah RM2 juta, manakala nilai sitaan berjumlah RM1,000.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!