700 durian 'belum masak' gugur dibadai ribut

KOTA BHARU - Seorang pengusaha kebun durian kerugian kira-kira RM39,000 selepas 700 biji durian pelbagai jenis gugur sebelum waktunya akibat dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah pada Selasa lalu.
Menurut Muhammad Nasrullah Tarmizi, 27, kejadian berlaku sekitar jam 4 petang ketika beliau berada di dalam pondok di kebun seluas empat hektar miliknya.
“Saya hanya mampu berdoa dan melaungkan azan apabila melihat angin kencang melanda kawasan kebun.
"Saya sendiri menyaksikan dahan beberapa pokok durian seperti raja kunyit, durian kahwin dan anak kunyit patah serta buah yang hampir masak gugur.
“Paling menyedihkan, buah-buah tersebut sudah matang dan sepatutnya gugur dalam masa seminggu lagi,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, selepas kejadian, buah yang luruh dikutip dan diasingkan mengikut tahap kesesuaian.
“Kami tidak mahu membazir. Ada buah yang masih elok digunakan untuk membuat kerepek, masak lemak atau digoreng celup tepung. Kami juga berkongsi dengan penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata, kebun durian itu diusahakan secara bersama dengan satu keluarga lain sejak lima tahun lalu.
Tambahnya, tanaman durian di kebun berkenaan terdiri daripada pokok berusia hampir 30 tahun dan sebahagiannya merupakan baka durian berkualiti tinggi.
“Setiap tahun saya jual hasil durian di pekarangan rumah di Kampung Kuala Tiga.
"Jika musim mengizinkan, pendapatan boleh mencecah RM50,000, namun bergantung pada hasil dan ancaman seperti haiwan liar serta penyakit pokok,” katanya.
Beliau turut mengakui pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam usaha memastikan kualiti isi durian kekal terbaik, namun beliau tetap bersyukur kerana diberi rezeki yang baik melalui tanaman tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
