'Ribut terbangkan bumbung flat timpa kenderaan penduduk'

GEORGE TOWN – Seorang penduduk di Flat Taman Tun Sardon, Gelugor, di sini mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit apabila dua buah kereta dan sebuah motosikal miliknya rosak ditimpa kayu bumbung yang tercabut akibat ribut.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika kawasan itu dilanda angin kencang, hujan lebat dan ribut petir yang menyebabkan sebahagian struktur bumbung flat berkenaan tercabut dan jatuh ke kawasan parkir.
Seorang suri rumah, Zuliani Elias, 42, berkata, ketika kejadian, beliau bersama suami dan tiga anaknya sedang tidur di kediaman mereka.

Bagaimanapun, Zuliani berkata, beliau menyedari kejadian angin kencang itu selepas terdengar bunyi penggera kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya.
“Penggera CCTV ini akan berbunyi sekiranya ada pergerakan kuat. Jadi pagi tadi, ia berbunyi kerana baju yang saya sidai di luar rumah bergerak kuat selepas ditiup angin.
“Saya terjaga dan melihat angin di luar sangat kuat. Tetapi ia berlaku dalam dua minit sahaja. Masa itu belum hujan. Kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Zuliani berkata, setelah diperiksa, beliau mendapati beberapa buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir ditimpa kayu dan bumbung yang tercabut akibat dipukul angin.
“Banyak juga kereta yang terlibat, dan dua daripadanya adalah milik saya. Selain dua buah kereta, sebuah motosikal saya juga rosak kerana ditimpa kayu.
“Bagaimanapun, syukur tiada yang cedera dalam kejadian ini. Ia hanya melibatkan kerugian harta benda,” tambahnya.
Dalam kejadian awal pagi itu, beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda hujan lebat berserta angin kencang yang menyebabkan kerosakan harta benda termasuk insiden pokok tumbang.
Kejadian dilaporkan berlaku di beberapa kawasan seperti Sungai Ara, Bagan Dalam, Seberang Perai, Bukit Mertajam, Air Itam, Gelugor, Butterworth, Bagan, Bagan Ajam, Batu Maung, Tasek Gelugor, Bukit Minyak, Juru dan Permatang Pauh.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, sebanyak lima rumah di taman perumahan tersebut terlibat dalam kejadian ribut.
Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Sebanyak lapan buah kereta dan empat buah motosikal mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut. Ketika ini, Lembaga Perumahan Pulau Pinang sedang membaiki kerosakan bumbung di flat berkenaan.

“Saya memohon agar kerja-kerja dipercepatkan. Ketika ini, bumbung zink telah dibawa keluar. Saya percaya kerja-kerja dapat disiapkan hari ini dan penduduk tidak perlu berpindah sementara,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian pokok tumbang, Connie Tan berkata, dua laporan telah diterima, iaitu di Lengkok Bawah serta Persiaran Besi.
“Kerja-kerja pengalihan pokok sedang giat dijalankan oleh Skuad Pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan kenderaan kerana ia berlaku pada awal pagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

