Bengkel guna bahu jalan digempur, 30 kenderaan dikompaun

GEORGE TOWN - Sikap tidak bertanggungjawab dua buah bengkel membaiki kenderaan di daerah Timur Laut yang menjadikan bahu jalan sebagai bengkel terbuka membawa padah apabila Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak tegas dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Khamis.
Dalam operasi yang dijalankan secara bersepadu oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBPP itu, sebanyak 30 kenderaan dikenakan kompaun manakala empat lagi ditunda atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurut MBPP, antara kesalahan yang dikesan termasuk meletakkan atau menggunakan kenderaan di siar kaki mengikut Kaedah 44, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.
"Selain itu, meletakkan kenderaan di garisan kuning tanpa menghiraukan isyarat lalu lintas, selaras dengan Seksyen 79(2), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut MBPP lagi, selain itu, tindakan turut diambil atas kesalahan meletakkan kenderaan yang boleh menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan kepada pengguna jalan raya lain seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 48(1) akta sama.
"Tindakan tersebut bukan sahaja melibatkan kenderaan milik bengkel malah turut dikenakan ke atas kenderaan orang awam yang mengambil kesempatan meletakkan kenderaan di sepanjang jalan utama berhampiran kawasan bengkel.
“Deretan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
MBPP menambah, tindakan penguatkuasaan berkenaan dilakukan hasil pemantauan pihak jabatan serta maklum balas awam yang bimbang terhadap risiko keselamatan yang timbul.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang mengganggu kelancaran trafik dan mengabaikan keselamatan orang ramai, terutamanya pemilik bengkel yang menyalahgunakan ruang awam sebagai tapak operasi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

