Tiga maut, dua cedera nahas empat kenderaan

PENDANG – Tiga maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini awal pagi Rabu.
Kemalangan sekitar jam 3.24 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Proton Saga BLM dan dua lori, menyebabkan tiga mangsa dalam Proton Saga BLM tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Muhamad Farid Abdullah.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati tiga mangsa di dalam Proton Saga BLM tersepit dan disahkan meninggal dunia.
"Dua lagi mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan," katanya pada Rabu.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi menyelamat ditamatkan pada jam 5.02 pagi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

