Iran gempur 'bengkel dron' Mossad

TEHERAN - Pihak berkuasa Iran menyerbu bangunan tiga tingkat di pinggir ibu kota yang dijadikan markas oleh Mossad yang merupakan ejen risikan Israel untuk memasang dron dan alat letupan.
Rakaman dikeluarkan pada Ahad menunjukkan komponen pesawat tanpa pemandu (UAV) itu termasuk sayap dan fiuslaj di 'bengkel' tersebut.
Penemuan itu selari dengan dakwaan Tel Aviv yang mendedahkan ejen Mossad menyeludup masuk dron ke Teheran sejak lebih lapan bulan lalu untuk operasi menyasarkan infrastruktur misil.
Selain itu, polis turut memberkas dua individu di sebuah rumah di daerah Savojbolagh di wilayah Alborz yang dipercayai menjadi pengintip Mossad.
Media tempatan melaporkan kedua-dua suspek itu menjadikan tempat persembunyian mereka untuk menghasilkan bom, alat letupan, jerangkap samar dan alatan elektronik. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

