Penduduk bantah 'projek haram' pusat perlindungan anjing liar

Mohd Zaidy (tengah) bersama penduduk penduduk membuat bantahan secara aman di lokasi pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram.
Mohd Zaidy (tengah) bersama penduduk penduduk membuat bantahan secara aman di lokasi pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram.
A
A
A

JEMPOL - Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di Jalan Rompin bersebelahan ladang kelapa sawit di sini.

Lokasinya yang agak tersorok dan dipagar dengan kepingan zink menyebabkan ia sukar dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun kewujudannya disedari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir ketika beliau membuat rondaan keadaan jalan raya di situ pada 21 Jun lalu.

"Ketika meronda di lokasi, saya nampak ada kerja-kerja pembinaan struktur di situ dan apabila saya tanya, mereka beritahu sedang bina pusat penempatan anjing.

"Saya kemudiannya berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDT) bagi mendapatkan kepastian dan dimaklumkan ia dibina di tanah rizab kerajaan tanpa mendapat kelulusan," katanya ditemui pemberita di lokasi pada Jumaat.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jempol telah pun mengeluarkan notis bertarikh 24 Jun meminta pihak tersebut merobohkan atau menghentikan pembinaan di lokasi tersebut.

Bagaimanapun katanya, tinjauan mendapati, struktur berkenaan masih ada di situ, malah kelihatan bekas berisi makanan anjing sekali gus menunjukkan 'projek haram' itu masih diteruskan.

"Saya nampak ia dah separuh siap. Walaupun lokasinya di kawasan ladang, tapi ada Kampung Orang Asli di kawasan berhampiran.

"Saya gesa PDT ambil tindakan segera dan jika tiada tindakan diambil dalam tempoh 14 hari, penduduk kampung bersama saya akan robohkan tempat ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaidy berkata, pembinaan pusat tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar berhubung risiko penyakit rabies, pencemaran bau serta pembuangan najis haiwan tersebut.

Jelasnya, pihaknya bukan membenci haiwan tetapi tidak mahu timbulnya masalah disebabkan wujud pusat penempatan anjing liar di situ.

“Kita bukan benci haiwan. Kita cintai haiwan tetapi lokasi tidak sesuai.

"Banyak lagi kawasan lain boleh dijadikan pusat perlindungan, bukan di kawasan rizab kerajaan yang berdekatan dengan penempatan penduduk.

“Jika nak buat pusat perlindungan, carilah tanah persendirian yang lebih sesuai tanpa menganggu kesejahteraan penduduk setempat dan bukannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang” katanya.

Tambahnya lagi, pembinaan pusat perlindungan anjing liar itu  tidak pernah mendapat sokongan mana-mana wakil rakyat mahupun kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKT).

Struktur yang dipercayai dibina untuk pusat perlindungan anjing liar. Gambar kecil, Norizan.
Struktur yang dipercayai dibina untuk pusat perlindungan anjing liar. Gambar kecil, Norizan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman berkata, pihaknya membantah pembinaan pusat penempatan anjing liar tersebut kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa penduduk.

"Masalah anjing liar ini bukan saja berlaku di kawasan taman-taman perumahan, tapi juga di kawasan kampung dan ia boleh mengundang isu keselamatan.

"Kalau ia dibina di sini, masalah akan bertambah dan kami harap tindakan diambil," katanya.

Terdahulu, kira-kira 50 kepimpinan setempat dan penduduk mengadakan himpunan secara aman di lokasi bagi membantah pembinaan pusat perlindungan anjing liar di situ.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!