Pegawai perisikan SPRM raih pembentang terbaik latihan antarabangsa

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakar sejarah tersendiri apabila salah seorang pegawainya meraih pengiktirafan dalam kursus latihan antarabangsa berkaitan jenayah penyeludupan haiwan liar rentas sempadan yang berlangsung di Hai Phong, Vietnam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan SPRM, penglibatan dalam program latihan seperti ini adalah bukti kesungguhan agensi itu dalam memperkukuhkan kerjasama rentas sempadan serta memerangi jenayah rasuah yang berkait secara langsung dengan eksploitasi biodiversiti.
Pegawai dari Bahagian Perisikan SPRM, Ahmad Firdaus Hashim, yang mewakili agensi itu dalam kursus “CTOC-WT: Counter Transnational Organized Criminal Wildlife Trafficking Tripod-2”telah dinobatkan sebagai Top Performer selepas berjaya menampilkan prestasi cemerlang sepanjang latihan berintensiti tinggi tersebut.

Latihan selama lima hari bermula 9 hingga 13 Jun itu berlangsung di Avani Hai Phong Harbour View Hotel, Hai Phong dan menghimpunkan agensi penguat kuasa dari Malaysia serta Vietnam bagi memperkasa usaha serantau membanteras jenayah penyeludupan haiwan liar.
Kursus ini dianjurkan dan ditaja oleh Biro Hal Ehwal Narkotik dan Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syarikat (INL), dengan kerjasama FREELAND, International Wildlife Trust (IWT), ASEANAPOL dan Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.
Antara agensi penguat kuasa dari Malaysia yang turut serta ialah SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan PERHILITAN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mewakili SPRM, Ahmad Firdaus diberi penghormatan menyampaikan pembentangan bertajuk “MACC’s Strategic Perspective On Corruption And Cross-Border Wildlife Trafficking”, yang mendapat perhatian peserta antarabangsa kerana mengupas secara menyeluruh kaitan rasuah sebagai faktor pendorong aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
Pembentangan strategik tersebut menjadi antara tarikan utama sepanjang program yang menyasarkan kepada peningkatan keupayaan peserta dalam mengenal pasti, menganalisis dan mematahkan rangkaian jenayah terancang melibatkan penyeludupan haiwan liar.
Kursus ini juga merupakan kesinambungan daripada siri program terdahulu seperti TRIPOD-2 Roundtable di Alor Setar, Kedah pada Mei 2024 dan latihan CTOC-WT di Centara Hatyai Hotel, Thailand pada November 2024.
Pengiktirafan ini juga menzahirkan profesionalisme pegawai SPRM dalam menjulang nama negara di persada global melalui platform yang menjurus kepada keselamatan, pemuliharaan alam sekitar dan integriti penguatkuasaan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

