Pengurus kanan GLC Sabah ditahan SPRM terima rasuah RM16,000

KOTA KINABALU - Seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 4 petang Rabu.
Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024 dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM16,000.
Suspek dipercayai telah menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di bawah GLC tersebut di sekitar negeri ini.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
"Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok bagi permohonan reman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
