Pegawai, anggota SPRM gagal capai BMI 27 tidak layak naik pangkat

Azam (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rosli pada Majlis Persaraan di Pejabat SPRM Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
Azam (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rosli pada Majlis Persaraan di Pejabat SPRM Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal menepati polisi Indeks Jisim Badan (BMI) 27 tidak layak menerima kenaikan pangkat bermula Januari tahun hadapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memberikan tempoh enam bulan kepada semua warga SPRM untuk mencapai berat badan ideal.

“Pelaksanaan arahan ini dijalankan dalam usaha mencegah warga SPRM yang merupakan penjawat awam daripada masalah obesiti.

“Tiada kenaikan pangkat kepada mereka yang melebihi BMI 27 bermula Januari tahun depan. PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah melaksanakan arahan dengan had BMI 26, dan kita (SPRM) sebagai sebuah jabatan penting kerajaan turut mengambil langkah sama,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.

Pada majlis tersebut, Rosli turut menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM Kelantan baharu, Azmin Yusuff.

Menurut Azam, semua bahagian SPRM sama ada di ibu pejabat mahupun negeri perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan di hospital kerajaan.

Ujarnya, penjawat awam yang mempunyai masalah berat badan sudah tentu lebih terdedah kepada pelbagai penyakit.

Azam menegaskan bahawa obesiti dalam perkhidmatan awam perlu dicegah dan tidak sepatutnya berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Apabila pegawai dan anggota SPRM mempunyai berat badan yang baik dan berketerampilan, ia lebih memudahkan penyampaian segala aspek kerja kepada orang awam,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!