Projek MyKiosk: SPRM tumpu aspek tatakelola, tiada elemen jenayah

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa tiada elemen jenayah dikesan dalam siasatan berhubung kes tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini siasatan kes tersebut lebih tertumpu kepada aspek tadbir urus (tatakelola) yang dikendalikan oleh kementerian berkenaan.

"Ia merupakan pertikaian terhadap isu tender dan harga bagi projek MyKiosk sama ada benar seperti yang ditohmahkan oleh sesetengah pihak.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan setakat ini, tiada elemen jenayah dikesan. Penyiasatan kes dijalankan lebih tertumpu kepada aspek tadbir urus," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.

Pada majlis tersebut, Rosli turut menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM Kelantan baharu, Azmin Yusuff.

Menurut Azam, berlaku salah faham apabila ada pihak menyatakan bahawa SPRM menyiasat kes jenayah dalam isu berkenaan.

Ujarnya, SPRM hanya memberi tumpuan terhadap siasatan berhubung isu tatakelola agar KPKT dapat menambah baik aspek tersebut pada masa hadapan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SPRM memulakan siasatan susulan dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan dalam tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.

Artikel Berkaitan:

Siasatan itu dijalankan selepas SPRM menerima aduan daripada salah sebuah parti politik berkaitan perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!