Sindiket dadah tumpas, RM4.2 juta dirampas

Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah dan peralatan yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang pada 28 Februari lalu.
Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah dan peralatan yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang pada 28 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak dua tahun lalu tumpas apabila polis menahan enam individu dalam dua serbuan berasingan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang pada 28 Februari lalu.

Sindiket licik itu dipercayai menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dijual ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor kira-kira jam 9.15 pagi.

Beliau berkata, serbuan berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 23 hingga 60 tahun.

"Hasil pemeriksaan di rumah pertama di Kuala Selangor polis menemukan dadah jenis ketamin seberat 40.81 kilogram, syabu (1.03 kilogram), Erimin 5 (127.55 gram) dan kafein (8.52 kilogram).

"Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.08 juta dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Hussein berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak dua tahun lalu dengan menggunakan rumah persendirian di kawasan luar bandar sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa

"Hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Tanjong Karang yang turut dijadikan stor simpanan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam serbuan itu, polis menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 12.14 kilogram, MDMA (3.2 kilogram) dan kafein (125 kilogram) dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.1 juta," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua serbuan ini adalah sebanyak RM4.2 juta yang dipercayai mampu menampung permintaan pasaran dadah selama beberapa bulan.

"Semakan mendapati empat daripada enam suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Suspek kedua bekerja sebagai buruh binaan, suspek ketiga sebagai pekerja ladang sawit, suspek keempat bekerja sendiri, suspek kelima bekerja di bengkel besi manakala dua lagi tidak bekerja," katanya.

Tambahnya, sitaan dijalankan melibatkan sebuah kereta Nissan Sentra bernilai RM8,000, pacuan empat roda Isuzu D-Max (RM70,000) dan motosikal Yamaha 125ZR (RM8,000) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!