Elak IPT jadi zon merah HIV

Saringan boleh dijalankan secara tertutup dan sulit, seperti mana ujian kesihatan fizikal sedia ada yang diwajibkan ke atas pelajar baharu.
Saringan boleh dijalankan secara tertutup dan sulit, seperti mana ujian kesihatan fizikal sedia ada yang diwajibkan ke atas pelajar baharu.
A
A
A

PENDEDAHAN mengejutkan bahawa seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan menghidap HIV sepanjang tahun lalu seharusnya menjadi loceng amaran kepada semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.

Lebih membimbangkan mereka yang dijangkiti baru berusia 18 hingga 19 tahun.

Statistik yang dikongsi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, iaitu 1,091 jangkitan dalam tempoh lima tahun membabitkan golongan itu adalah bukti jelas bahawa aktiviti berisiko berlaku seawal usia remaja dan semakin merebak dalam senyap.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya, turut mendedahkan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar sekolah menunjukkan peningkatan dengan kebanyakan mereka menerima jangkitan akibat aktiviti seksual.

Ini bukan sekadar isu kesihatan, tetapi juga masalah sosial yang perlu ditangani.

Langkah pencegahan melalui Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) memang dialu-alukan, tetapi masih terlalu reaktif.

Kita perlu lebih proaktif. Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan agar ujian saringan HIV dijadikan salah satu syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Langkah ini bukan bertujuan menghukum atau mendiskriminasi sesiapa, sebaliknya membuka ruang kepada intervensi awal, termasuk rawatan, kaunseling dan pendidikan kesihatan seksual secara menyeluruh.

Saringan boleh dijalankan secara tertutup dan sulit, seperti mana ujian kesihatan fizikal sedia ada yang diwajibkan ke atas pelajar baharu.

Artikel Berkaitan:

Lebih penting, cadangan ini selari dengan usaha membendung penularan HIV yang kini dilihat kembali meningkat, terutama dalam kalangan belia.

Kita tidak boleh lagi selesa atau menganggap ia isu terpencil.

Pada masa sama, perlu ada penambahbaikan dasar, contohnya memberi kelonggaran kepada remaja bawah umur untuk menjalani ujian dan rawatan tanpa memerlukan kebenaran ibu bapa, terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan risiko tinggi.

Jika pendekatan ini tidak dipertimbangkan segera, kita hanya akan terus melihat peningkatan angka saban tahun.

Jangan tunggu sampai wabak pembawa maut ini merebak lebih luas baru kita mahu bertindak.

Ketegasan hari ini mungkin menyelamatkan ribuan nyawa di kemudian hari.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!